Monday, 31 August 2015

Penang Part 2 (19 Mac 2015) - Edisi Cuti Sekolah

Hari kedua, sebelum bersarapan saya sempat workout di gym. Rutin waktu pagi apabila saya travel selain berjogging. Selepas bersarapan  di hotel, kami meneruskan aktiviti di kolam renang dan pantai sekali lagi. Biasalah, budak-budak kalau dah nampak kolam renang memang tak boleh nak buat apa. Sementara saya menghabiskan masa membaca paper di lobi hotel. Tidak banyak aktiviti yang dibuat dari pagi hingga tengah hari selain bersantai di hotel. Sekitar jam 12.00 tengah hari kami check-out dari hotel untuk bergerak ke Cititel Hotel. 

Dari Holiday Inn saya mengambil teksi dengan tambang yang dikenakan sebanyak RM40.00. Kebetulan pemandu teksi kali ini mempunyai pengalaman luas dalam bidang tourism di sini. Sepanjang perjalanan beliau banyak menceritakan serba sedikit sejarah dan latar belakang sesuatu tempat. Tidak ketinggalan juga tempat-tempat menarik di Georgetown dan belaiu juga recommend tempat makan untuk dikunjungi. Sangat-sangat membantu penerangan yang diberikan dan pujian diberikan kepada pemandu kali ini!. Setibanya di Cititel lebih kurang jam12.40 tengah hari dan proses check-in memakan masa tidak sampai 5 minit!. Selepas meletak luggage di bilik, tanpa membuang masa, saya terus bergegas turun ke gerai Nasi Kandar Line Clear yang terletak tidak jauh dari Cititel Hotel.

Ini adalah antara sebab mengapa saya prefer memilih hotel ini sekiranya saya ke Penang. Setibanya di gerai Nasi Kandar Line Clear pengunjung sudah mula beratur panjang memandangkan waktu tersebut juga adalah lunch hour. Walaupun beratur agak panjang, kecekapan krew yang mengambil pesanan tidak membuatkan masa menunggu begitu lama. Untuk menu kali ini saya hanya tapau nasi kandar dengan lauk ayam goreng, telur dadar dan kari ikan. Dengan nasi yang masih lagi panas dan lauk yang menyelerakan sekejap sahaja kami anak beranak menghabiskan hidangan tengah hari.

Bahan pameran yang menerangkan fasa penaklukan Jepun di Penang


Catatan perkembangan Penang di Gallery 3D

Lebih kurang jam 4.30 petang, kami mula bergerak ke Padang Kota Lama dengan menaiki beca dari hadapan hotel dan dikenakan caj sebanyak RM20.00. Medan Selera Padang Kota Lama menjadi lokasi bagi menghabiskan waktu petang sambil menikmati pasembor yang agak popular (popular tidak semestinya sedap). Selain pasembor, terdapat juga gerai yang menjual makanan bergoreng. Selepas menikmati pasembor, kami bergerak ke Galeri 3D yang terletak di Jalan Green Lane yang mengambil masa 5 minit berjalan kaki dari Medan Selera Padang Kota Lama. 


Galeri ini sebenarnya terletak di deretan rumah kedai lama yang telah diubahsuai menjadi sebuah galeri sejarah dan seni. Untuk tiket masuk, bagi seorang dewasa dikenakan bayaran sebanyak RM15.00 manakala kanak-kanak pula sebanyak Rm7.00.

Salah satu art di Galeri 3D

Di aras bawah pengunjung akan dibawa untuk mengenali sejarah pembukaan Penang dengan lebih dekat bermula dengan kehadiran Francis Light ke Penang. Di sini pengunjung diberi pendedahan sejarah dan perkembangan Penang sebagai salah satu negeri Selat yang ditadbir oleh Inggeris sehingga tertubuhnya Malaysia sebagai sebuah negara merdeka pada tahun 1957 dan persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. 

Setelah melalui terowong sejarah, pengunjung seterusnya dibawa ke aras 2 yang menempatkan galeri 3D. Galeri ini menjadi tumpuan pengunjung di sini untuk mengabadikan aksi mereka dengan lukisan 3D melalui lensa kamera. Keunikan galeri 3D di sini selain lukisannya, satu ruang anti gravity diwujudkan untuk memberi peluang kepada pengunjung merakam potret mereka seolah-olah sedang tergantung di dinding!. Pertama kali beraksi di galeri 3D ini sangat mengujakan saya terutamanya anak-anak. 

Di setiap mural mural, terdapat pembantu yang bersedia memberi nasihat akan kedudukan yang betul bagi memastikan foto yang diambil memberi effect dalam bentuk 3D. Begitu juga saya, perlu berdiri di posisi yang tempat untuk mengambil foto. Walau pun nampak mudah, tetapi agak memenatkan terutamanya cameraman kerana terpaksa beberapa kali bertukar posisi bagi mendapatkan sudut pandang yang menarik. Setelah menghabiskan masa kira-kira sejam di sini, kami mula bergerak balik ke hotel dengan berjalan kaki sahaja. Perjalanan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk sampai ke Cititel. 

Setibanya di hotel masing-masing telah kepenatan dan waktu malam hanya untuk berehat sahaja. Selepas menunaikan solat maghrib, saya terus menuju ke gerai sup Hameed yang terletak bersebelahan dengan hotel. Sup Hameed antara restoran yang cukup terkenal di Penang bagi mereka yang ingin merasai keenakan sup kambing yang dimakan bersama roti benggali. Setiap malam, hampir semua meja di luar gerai ini penuh dengan pelanggan yang datang untuk bersantai sambil menikmati hidangan sup kambing berempah yang panas dan menyelerakan. Gerai ini juga antara gerai yang sentiasa menjadi port saya untuk menghabiskan waktu malam sekiranya ke Georgetown. 


Setakat ini sahaja catatan perjalanan hari kedua. Aktiviti dipenuhi dengan makan-makan disekitar Cititel Hotel. Memang recommended hotel ini sekiranya anda merancang bercuti di Georgetown. 

No comments:

Post a Comment