Monday, 28 December 2015

2015 [Kenangan], 2016 [Harapan]

Tahun 2015
[Kenangan]

Tahun 2015 menghampiri penamatnya tidak beberapa hari lagi. Saya akui sepanjang tahun 2015 terlalu banyak kisah yang telah dilalui dalam tempoh ini.  Apa yang menggembirakan dan membuatkan saya sangat-sangat bersyukur sepanjang tahun ini ialah diberi kelapangan oleh Allah kepada saya untuk lebih masa bersama keluarga. Bermula bulan Januari hingga Ogos saya tidak perlu lagi hadir ke kelas sebagaimana biasa. Tumpuan hanya diberikan kepada penulisan tesis dan saya perlu bijak membahagi masa supaya jadual perancangan penulisan kajian ilmiah dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Viva dapat diselesaikan sebelum Hari Raya dan hanya melibatkan pindaan minor sahaja. Dengan izinNya, saya akhirnya berjaya menyempurnakan pengajian dan dianugerahi Sarjana secara rasminya pada 1 November yang lalu. Bila difikir kembali semacam tidak percaya saya lalui semua ini memandangkan bukan mudah sebenarnya untuk melalui tempoh pengajian dan menyediakan tesis memandangkan saya telah meninggalkan dunia akademik hampir 10 tahun yang lalu. Banyak perkara baru saya belajar dalam tempoh pengajian, terutamanya yang melibatkan human rights issue dan sistem demokrasi.

Dalam tempoh cuti belajar juga saya berkelapangan untuk kerap pulang ke kampung terutamanya dibulan ramadan untuk bersama-sama menjalani ibadah puasa bersama kedua orang tua. Saya akui sebelum ini (hampir 12 tahun semasa masih dalam perkhidmatan) saya hanya sempat berbuka bersama mereka hanya di penghujung Ramadan (itupun sebab balik kampung untuk berhari raya). Begitulah kententauan Allah, rupanya kelapangan dan kesempatan yang diberikan kepada saya penuh hikmah apabila bulan ramadan tahun ini adalah bulan ramadan terakhir saya dapat bersama arwah emak. Perkara ini benar-benar memberi kesan mendalam kepada saya bahawa setiap yang berlaku sebelum ini mempunyai hikmah yang tidak dapat disingkap oleh kita.

Tamat sahaja pengajian pada bulan Ogos, saya dikehendaki melaporkan diri untuk bertugas sebagaimana yang ditetapkan dalam perjanjian. Bukan mudah untuk memulakan kerja selepas bercuti selama dua tahun. Untuk minggu-minggu pertama, kedua, ketiga dan seterusnya memang lemau dibuatnya...hahaha. Terpaksa bangun awal pagi, bersiap-siap ke pejabat, bersesak di jalan raya pada waktu pagi dan petang..aduss..memang sengal kepala ni.

Apapun, alhamdulillah sepanjang tahun 2015, perjalanan hidup saya dimudahkan oleh Allah S.W.T. 

Terima kasih.


2016
[Harapan]

Saya perlu akui bahawa ketagihan untuk travel berterusan sepanjang tahun 2016. Bulan januari saya sudah merancang ke Kota Bharu bersama isteri dan anak-anak. Sebenarnya kami tidak membuat perancangan awal ke sana. Memandangkan anak-anak tidak pernah menjejaki kaki ke Kelantan, sementara isteri pula sudah tidak lama ke sana, maka perjalanan kali ini sangat-sangat ditunggu oleh kami.  Perjalanan kali ini dengan penerbangan Airasia dan penginapan kami di Hotel Perdana. Bercuti bersama anak-anak sudah pasti keselesaan mereka menjadi keutamaan. Walau pun terpaksa berbelanja lebih, yang penting mereka dapat menikmati perjalanan kali ini dan mempelajari perkara baru.

Pada masa yang sama, saya juga sedang mencari masa yang sesuai untuk ke Koh Samui, Boracay, Filipina dan Bali sekali lagi. Kali ini saya cuba melakukan aktiviti outdoor yang tidak pernah saya lakukan seperti water rafting, kayaking ataupun menghabiskan masa dengan penduduk tempatan sambil mempelajari cara hidup mereka!. Apapun perancangan ini banyak bergantung kepada kelapangan yang saya ada sepanjang tahun 2016. Sepertimana yang saya tuliskan sebelum ini, masa untuk aktiviti ini juga adalah terhad berikutan komitmen terhadap kerjaya. Oleh yang demikian, perancangan yang teliti perlu dibuat supaya setiap perjalanan menepati tujuan asal.

Bercakap berkenaan azam baru, terus terang saya tiada apa lagi yang hendak dikejarkan. Cukuplah sekadar memohon kepada Allah semoga saya ditetapkan iman, diberikan kesihatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Aktiviti rutin saya diteruskan seperti biasa, termasuk pengambilan makanan yang seimbang, masa bersama keluarga dan aktiviti fizikal. Saya berpegang kepada prinsip health is wealth dan mengembaralah untuk lebih menghargai hidup kita sendiri!


Terima kasih [full stop]

1 comment:

  1. terima kasih kerana singgah baca blog saya yang tak seberapa tu. moga saudara bergembira bercutu ke boracay nanti..

    ReplyDelete