Sudah lama rasanya saya tidak kemas kini travelog
saya. Kebetulan tempoh masa antara Februari hingga Jun saya sedang bertungkus
lumus menyiapkan kajian ilmiah bagi melengkapkan keperluan dalam pengajian
peringkat sarjana. Alhamdulillah tanggungjawab tersebut sudah menghampiri
penamatnya semasa catatan ini ditulis. Sekiranya orang lain berasa gembira kerana
berjaya menamatkan pengajian, tetapi tidak bagi saya. Agak berat sebenarnya
untuk menamatkan pengajian kerana ini bermakna saya akan menyambung balik rutin
kerjaya sebelum ini dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di pejabat. Apabila
sudah masuk bertugas kembali, masa saya untuk travel secara automatiknya
juga akan terhad.
Kembali kepada tujuan catatan perjalanan untuk kali ini,
saya mengambil kesempatan baki cuti belajar saya dan kebetulan jatuh pada cuti
Hari Raya untuk meluangkan masa di Pulau Tioman iaitu pada 22-24 Julai 2015. Pulau
yang terletak di sempadan Pahang dan Johor ini senantiasa menggamit kehadiran
pelancong dari dalam dan luar negara. Malahan Pulau Tioman juga dinobatkan
sebagai salah satu pantai yang terbaik di Malaysia oleh daily.com.uk. Anda boleh membaca pengiktirafan ini di http://www.dailymail.co.uk/travel/article-1335856/Beach-holidays-Tioman-island-worlds-best-kept-travel-secrets.html. Pulau Tioman juga mendapat pengiktirafan sebagai salah satu daripada 100 pantai tercantik di dunia oleh CNN.
Perjalanan saya dimulakan dengan menggunakan bas
Transnasional dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Mersing. Saya mengambil
bas pukul 9.00 pagi dan dijangka tiba di Mersing sekitar jam 2.30 petang. Manakala
perjalanan feri, saya decide untuk mengambil trip jam 4.00 petang.
Berdasarkan perancangan ini saya punyai cukup masa untuk berehat sebentar
setelah tiba di bandar Mersing sebelum meneruskan perjalanan ke Tioman. Perjalanan
dari Kuala Lumpur ke Mersing melalui Kuala Pilah, Serting (gugusan FELDA
Palong), Muadzam Shah, Kuala Rompin, Endau dan seterusnya ke Mersing.
Perjalanan berjalan lancar memandangkan tidak banyak kenderaan walaupun keadaan
jalan raya tidak begitu rata. Bas akan berhenti sebentar untuk minum sebelum
tiba di Bandar Muadzam Shah dan berhenti sekali lagi untuk menurunkan penumpang
di Kuala Rompin.
Ketika bas dalam perjalanan di Endau, saya dihubungi
wakil agen feri yang telah saya booking memaklumkan supaya segera menunggu
di Jeti Mersing sebelum jam 3.00 petang memandangkan feri akan bergerak awal
dari jadual yang ditetapkan. WTF!..aduss..dari Endau ke Mersing mengambil masa
kira-kira 30 minit dan ketika itu saya hanya ada kira-kira 20 minit untuk tiba
pada waktunya! Setibanya saya di terminal bas baru Mersing saya terus berlari ke
Jeti Mersing yang terletak kira-kira 6oo meter dari stesen bas Mersing. Feri
ini adalah trip terakhir ke Tioman, sekiranya terlepas saya terpaksa mengambil
trip keesokan hari. Lagi satu hal yang menyesakkan..seingat saya terminal bas
Mersing terletak bersebelahan Jeti rupanya telah berpindah ke lokasi
baru...haishhh.
Alhamdulillah, walaupun sedikit lewat dari sepatutnya,
setiba di jeti saya terus mengambil tiket dari wakil agen, mendaftar nama dan
membuat bayaran conservation fee Taman Laut. Sebenarnya saya membeli dua
tiket feri, memandangkan rakan yang sepatutnya bersama saya tidak dapat sertai last
minute, saya terpaksa refund kepada agen. Biasalah, bila refund
tak dapatlah jumlah penuh, agen hanya tolak RM5.00 sahaja dari setiap tiket. Ok
lah tu daripada saya terus menanggung kerugian. Di Jeti Mersing saya sempat
menunaikan solat jamak zohor dan asar di surau yang cukup hanya memuatkan 3
orang dewasa sahaja.
Secara peribadi saya merasakan kemudahan Jeti Mersing
sangat tidak menggambarkan kemudahan yang setidak-tidaknya seperti di Jeti
Kuala Perlis atau Kuala Kedah. Nak compare dengan Jeti Kuah lagi lah
jauh. Kemudahan yang disediakan sangat terhad. Ruang menunggu yang agak kecil,
kemudahan tandas tidak mencukupi, kedudukan kedai dan food court sedikit jauh, kemudahan surau tidak sempurna sedikit sebanyak mengganggu
mood saya. Meskipun ketika itu bukan cuti umum dan cuti sekolah, keadaan di Jeti
agak ramai dengan kehadiran pelancong asing dan tempatan yang hendak ke Tioman. Keadaan
tidak begitu selesa meskipun kipas terpasang kerana cuaca agak panas ditambah
dengan bilangan pelancong yang bersesak-sesak. Akhirnya tepat jam 3.40, feri
bergerak dari Mersing menuju ke Pulau Tioman. Perjalanan berjalan lancar dengan
keadaan air laut yang tenang dan tidak bergelora. Tempat duduk adalah free
seating, so pandai-pandai lah anda cari seat yang strategik
(terlindung dari pancaran cahaya matahari). Perjalanan mengambil masa satu
setengah ke dua jam bergantung kepada lokasi penginapan di Pulau Tioman.
Feri akan berhenti di enam lokasi Jeti yang berbeza. Sila
pastikan anda turun di jeti yang betul. Sepanjang berada di sini, saya
menginap di Salang Sayang Resort yang terletak di Kampung Salang iaitu bahagian
utara Pulau Tioman. Jeti Kg Salang merupakan Jeti terakhir persinggahan feri
untuk menurunkan penumpang selepas Jeti Genting, Jeti Paya, Jeti Tekek, Jeti
Panuba. Resort ini terletak di hujung Kg. Salang atau 5 minit berjalan kaki
daripada Jeti Salang. Berdasarkan kepada review dalam internet, saya memilih
resort ini kerana kedudukannya berhadapan dengan pantai yang landai dan menjadi
tumpuan pengunjung mandi manda.
Keterujaan agak sedikit terganggu apabila saya
berjalan kaki ke resort. Mengambil contoh keadaan di food court Kompleks
Salang yang tidak terurus dan agak kotor. Begitu juga sepanjang jalan menuju ke
Salang Sayang Resort dan Salang Pusaka Resort, banyak peralatan nelayan dan bot lama yang sepatutnya
boleh dibuat pelupusan terbiar begitu sahaja sehingga mencacatkan keindahan
Pulau Tioman. Belum lagi botol-botol dan tin minuman yang bersepah. Sorry lah,
saya agak concern perkara ini. Sebagai frequent traveller saya
melihat aspek kebersihan perlu dititik beratkan oleh penduduk tempatan tanpa
mengharapkan sepenuhnya tanggungjawab itu kepada Pihak Berkuasa.
Sebahagian bilik di Salang Sayang Resort |
Pemandangan di hadapan Salang Sayang Resort |
Sebahagian lagi view dari hadapan resort |
Saya membuat tempahan di Salang Sayang Resort melalui laman web
resort ini. Dimiliki sepenuhnya oleh anak tempatan Kg. Salang, resort ini
diuruskan oleh Chill iaitu anak kepada pemilik resort ini. Aku ingatkan mat
salleh mana dia ni..rupanya orang sini. Bapanya penduduk Tioman dan berkahwin dengan warga Dutch. Kalau jumpa dia, tak usahlah korang tergeliat nak
speaking, Chill boleh berbahasa melayu dengan baik. Seorang yang approachable
dan senang untuk berkongsi cerita. Dia ni lah yang jaga reception dan dia
jugaklah yang kemas bilik. Jimat kos operasi resort!. Oh ye, kadar penginapan semalaman bagi bilik dilengkapi dengan aircond sebanyak RM130/per nite.
Selain Salang Sayang Resort, terdapat beberapa resort lain di Kg
Salang seperti Salang Indah Resort, Salang Pusaka Resort, Pak Long Lodge and
Accomodation, Ella Chalet, Huts Chalet. Kesemua chalet ini diusahakan oleh penduduk di sini. Setiap resort mempunyai kemudahan cafe dan kedai runcit untuk kemudahan pengunjung. Bercerita pasal makanan, umumnya harga di sini
sedikit tinggi berbanding di Mersing. Kos logistik dari Mersing ke Pulau Tioman menyumbang kepada kadar
harga bahan mentah agak tinggi.
Tak payah lah nak korang nak kedekut sangat berbelanja di sini atas alasan kos tinggi. Sekali sekala apa salahnya membantu peniaga di sini. Mereka amat mengharapkan pelancong yang hadir berbelanja di gerai mereka sebagai punca pendapatan utama mereka. Tak gitu.
Tak payah lah nak korang nak kedekut sangat berbelanja di sini atas alasan kos tinggi. Sekali sekala apa salahnya membantu peniaga di sini. Mereka amat mengharapkan pelancong yang hadir berbelanja di gerai mereka sebagai punca pendapatan utama mereka. Tak gitu.
Sunset di Kg. Salang |
Untuk hari pertama tidak banyak aktiviti yang saya
lakukan. Selepas makan malam di Restoran Salang Indah Resort, saya menghampiri kiosk menawarkan
pakej snorkeling, fishing dan diving. Secara umumnya pakej yang ditawarkan
adalah lebih kurang sama. Untuk aktiviti island hopping pengunjung
diberi pilihan untuk mengambil round island package yang mengambil masa
dari jam 10.00am-5.00pm. Manakala coral island package pengunjung akan
dibawa ke beberapa lokasi snokerling dari jam 10.00am-2.30. Memandangkan tidak
banyak aktiviti yang boleh dilakukan, saya decide untuk pilih round
island package dengan kos RM100.00 per pax. Walaupun begitu saya
dimaklumkan untuk package ini jumlah penumpang masih lagi tidak mencukupi
sekurang-kurang enam orang. Termasuk saya, baru 3 orang sahaja yang telah book
package ini. Jimie (operator tour island) memaklumkan sekiranya masih tidak
mencukupi jumlah minimum yang ditetapkan, beliau akan tukarkan kepada coral
island dan lebihan wang akan dikembalikan.
Untuk waktu malam tidak banyak aktiviti yang dilakukan.
Bagi pelancong asing waktu sebegini mereka habiskan dengan berkumpul dan
bersembang sambil minum. Kalau dah ada minuman beralkohol malas pula nak joint
diorang. Di resort ini tidak disediakan kemudahan TV. Walaupun begitu kemudahan
Wifi disediakan dan kelajuannya so so sahajalah. Waktu malam agak membosankan. Oleh
kerana tidak ada yang hendak dilakukan saya masuk tidur lebih awal pada malam
ini setelah seharian menghabiskan masa dalam perjalanan ke sini.
Setakat ini sahaja dahulu catatan saya pada hari pertama
di Tioman.
Tips
- Waktu yang paling sesuai untuk ke Pulau Tioman adalah dari Mac hingga Oktober. Pada waktu ini cuaca baik dan laut tidak bergelora. Bagi anda yang berhajat untuk melakukan aktiviti diving, bulan Mei/Jun adalah tempoh yang sangat ideal kerana dikatakan keadaan air laut seperti cermin. Bermula November hingga Februari kebanyakan resort menghentikan operasi sementara mereka. Dalam tempoh ini penduduk Pulau Tioman dan pekerja resort akan balik ke tanah besar untuk meneruskan aktiviti harian mereka di sana.
- Untuk ke Mersing atau Kuala Rompin anda tidak mempunyai banyak pilihan. Selain memandu sendiri kenderaan, pengangkutan awam seperti bas ekspres adalah pilihan terbaik ke sini. Kebanyakan pelancong asing mengambil bas dari Terminal Bersepadu Tasik Selatan atau mengambil teksi dari Airport Senai.
- Perjalanan feri ke Pulau Tioman adalah tidak tetap dan bergantung sepenuhnya kepada keadaan pasang surut air laut. Oleh yang demikian, anda perlu menyemak jadual pasang surut yang dikemas kini setiap bulan oleh Jabatan Meteorologi bagi memastikan anda merancang perjalanan dan mengambil trip yang betul.
- Terdapat banyak pilihan penginapan di Pulau Tioman. Dari private hotel, 4 star hingga lah tiada star. Terpulang kepada bajet anda dan jenis percutian yang anda rancang. Kalau sekadar nak menghabiskan masa bermalas-malasan di resort yang tiada hiruk pikuk, feeling privacy yang tinggi, maka Tunamaya adalah pilihan terbaik. Kadar biliknya juga terbaik!. Tapi kalau merancang untuk explore hidupan marin di sini, resort tiada star sudah memadai untuk anda.
- Tiada kemudahan perbankan di Kg Salang. Sila bawa secukupnya duit untuk keperluan anda. Walaupun begitu, sekiranya terdesak, anda boleh menyewa bot teksi ke Kg Tekek (mengambil masa 10 minit perjalanan) untuk mengeluarkan wang di ATM. Kadar bot teksi adalah berbeza mengikut destinasi.
No comments:
Post a Comment