Monday 31 August 2015

Pulau Tioman Part 2 (23 Julai 2015) - Berlari dan terus berlari

Hari kedua dimulakan dengan menghabiskan masa berjogging di sekitar Kg Salang pada waktu pagi. Memang best!. Udara yang segar dan dikelilingi kawasan kampung, sambil ditemani angin laut. Perghh... setelah berjogging saya membeli sarapan pagi di hadapan kedai runcit Salang Indah Resort. Pelbagai jenis kuih muih dan menu sarapan orang Malaysia seperti nasi lemak, bihun dan mee goreng dijual. Penginapan saya di Salang Sayang Resort tidak termasuk breakfast.


Sarapan pagi dijual dihadapan Salang Indah Supermarket setiap hari

Kira-kira jam 10.00 pagi saya ke kaunter tour island untuk aktiviti yang telah ditempah semalam. Saya bernasib baik kerana dimaklumkan bahawa jumlah minima 6 orang pengunjung telah dipenuhi. Kami berenam menyertai round island yang dijadualkan mengambil masa 10.30am-6.00pm. Trip menggunakan bot gentian kaca dengan satu kuasa kuda disertai oleh sepasang warga Iraq yang belajar di UTM dan selebihnya saya sendirian serta tiga orang rakan karib dari Kuala Lumpur. Diorang ni sempoi dan jadi geng saya sepanjang trip kali ini.


Pantai di Kg. Juara

Keadaan laut pada pagi ini agak bergelora, so dengan satu enjin kuasa kuda memang terangkatlah bot menghentam laut. Destinasi pertama yang dibawa ialah ke Kg Juara. Terletak di sebelah timur pulau Tioman, Kg. Juara agak tersorok dari penempatan yang lain. Saya dimaklumkan untuk ke sini pengunjung perlu berhenti turun di Kg. Tekek sebelum mengambil kenderaan pacuan 4 roda ke sini yang memakan masa setengah jam. Terdapat beberapa resort menjadi pilihan bagi anda yang berhasrat untuk menginap di sini.


Saya akui bahawa pesisir pantai di sini lebih menarik berbanding lokasi lain di Pulau Tioman. Pesisir pantai yang panjang dan air yang jernih menjadi tarikan utama meskipun lokasinya agak tersorok dan berhadapan Laut China Selatan yang sayup mata memandang. Selain itu, terdapat Pusat Konservasi Penyu yang berperanan memberi pendedahan awam tentang usaha-usaha memelihara pembiakan spesis penyu di Pulau Tioman. Di Pusat Konservasi Penyu, pengunjung berpeluang melihat seekor penyu yang diberi nama Joe diletakkan di dalam sebuah kolam. Sebenarnya Joe adalah seekor penyu yang mengalami masalah penglihatan, senang cakap buta.


Air Terjun Kg. Asah


Signboard ke Air Terjun Kg. Asah

Seterusnya kami di bawa ke Waterfall yang terletak di Kampung Asah. Dari Jeti kami perlu berjalan kaki kira-kira 15 minit dan memanjat bukit untuk tiba ke sini. Air terjun di sini tidak terlalu tinggi, memadai untuk kami menghabiskan masa berendam dalam kedinginan air terjun yang menyegarkan. Setelah itu, kami dibawa ke Pulau Renggis untuk aktiviti snorkeling pertama. Lokasi ini menjadi lokasi wajib bagi aktiviti snorkeling di Tioman. 



Kemudahan Klinik Kesihatan, Sekolah dan Airport di Kg. Tekek

Jeti  di Kg. Tekek

Secara umumnya tiada apa yang menarik untuk aktiviti snorkeling memandangkan banyak batu karang telah mati. Walau bagaimanapun sekiranya anda bernasib baik anda akan bertemu dengan jerung dan berpeluang berenang bersama!. Setelah penat bersnorkeling, kami seterusnya dibawa ke Kg. Tekek untuk makan tengah hari. Kg Tekek boleh diibaratkan sebagai pekan utama di Pulau Tioman. Pelbagai kemudahan asas tertumpu di Kg Tekek. Sekolah rendah dan menengah, Lapangan Terbang, Pejabat Pos, Pejabat-pejabat Kerajaan dan tempat untuk membeli belah terletak di sini. Kami menghabiskan masa kira-kira sejam untuk lunch dan membeli sedikit buah tangan dari Tioman (padahal aku tak beli pun). Memandangkan masih lagi minggu pertama hari raya, banyak gerai makanan di sini yang belum beroperasi sepenuhnya.


Bermain bersama ikan di Taman Laut Tioman

Merehatkan diri sambil snorkeling di Shark Bay


Dari Kg Tekek kami dibawa pula ke Taman Laut Tioman, sekali lagi kami berpeluang untuk melakukan aktiviti snorkeling. Berbezanya di sini lokasi snorkeling ditemani dengan pelbagai spesis ikan berbagai saiz yang bersedia untuk menghabiskan masa bersama anda. Keadaan air juga tenang dan sesuai untuk mereka yang tidak mempunyai asas renang.

Dari Taman Laut Tioman, seterusnya kami dibawa ke Shark Bay untuk aktiviti snorkeling sekali lagi..huhu..Banyak dah bersnorkel hari ini sampai malas dah untuk joint diorang snorkel. Cukup berehat di dalam bot sambil bersembang dengan pelajar UTM yang berasal dari Iraq. Rupanya mereka boleh berbahasa Melayu..nasib baik aku tak kutuk kau dalam bahasa melayu  dengan budak bertiga tu..kalau tak..hahahaha...Berbeza dengan rakyat Iraq yang pernah saya temui, beliau senang didekati dan agak peramah. Sekali sekala saya communicate in arabic dengan mereka, tang tu jugak diorang konon-kononnya terkejut dan mengatakan accent saya sebijik macam orang arab..tak yah lah puji-puji aku sangat bro..aku tau keupayaan arabic aku yang very bad!..ini semua poyo okey..





Snorkeling di Pulau Renggis

Tanpa sedar, jam menghampiri 6 petang. Rasa sekejap sahaja aktiviti sepanjang hari ini. Overall saya agak berpuas hati dengan aktiviti round island trip ni. Kiranya banyak tempat menarik di Tioman telah dicover. Cumanya arus kali ini agak kuat terutamanya perjalanan ke Kg Juara dan dari Kg Juara ke Kg. Mukut..fuhh..habis basah baju semua dalam bot tu. Nasib baik saya membawa waterptoof bag yang dibeli di Krabi tempoh hari.

Waktu menjelang senja...apalagi..pantas sahaja tangan saya mengambil kamera untuk membuat bidikan panorama remang senja di Tioman. Memang indah ciptaan Yang Maha Esa..kombinasi jeti, bot, bukit bukau melengkapkan panorama senja di Tioman.

Waktu malam tidak banyak aktiviti yang dibuat, sekadar berehat dan menonton Tv di Cafe Salang Sayang. Memang membosankan sebenarnya waktu malam di sini, kecuali bagi anda yang datang berkumpulan dan merancang BBQ dinner. Pada waktu ini juga terdapat pengunjung yang menghabiskan masa melepak di tepi pantai sambil menghirup udara segar waktu malam. Ada juga yang mengambil kesempatan memancing di Jeti dan ada yang minum-minum di tepi pantai hingga mabuk.

Setakat ini sahaja catatan saya untuk hari ke dua di Tioman. Malam ini saya masuk tidur awal daripada biasa kerana kepenatan melakukan aktiviti disepanjang hari.

Tips :

Kebanyakan pakej yang ditawarkan adalah sama dari segi aktiviti dan kadar yang dikenakan. Bagi anda yang datang berkumpulan seelok-eloknya request untuk bot persendirian dan tidak bercampur dengan pengunjung lain.

Jangan lupa membeli roti kering untuk ikan yang banyak dijual di kedai dengan harga RM2.00 sahaja. Sambil snorkel anda akan dikerumuni ikan apabila anda memberi roti kering tersebut.

Satu perkara yang mungkin agak tidak selesa di sini ialah apabila pelancong asing secara terbuka minum minuman beralkohol sehingga mabuk. Minuman sebegitu mudah diperoleh di sini meskipun tiada bar dan pub. Situasi ini mungkin biasa bagi penduduk Kg Salang tetapi mungkin agak janggal bagi pelancong tempatan. 

Apa tidaknya, Kg Salang sebenarnya adalah penempatan masyarakat melayu yang masih lagi mengekalkan ciri-ciri perkampungan melayu tradisi. Seolah-olah terdapat suasana yang bertentangan antara nilai-nilai tempatan dan keterbukaan budaya asing. Saya berpendapat sewajarnya pihak berkuasa di sana menyediakan tempat khusus untuk memenuhi keperluan mereka yang mengambil minuman beralkohol supaya persekitaran Kg Salang lebih nampak real.

No comments:

Post a Comment