Monday 31 August 2015

Pulau Tioman Part 1 (22 Julai 2015) - Berlari dan terus berlari

Sudah lama rasanya saya tidak kemas kini travelog saya. Kebetulan tempoh masa antara Februari hingga Jun saya sedang bertungkus lumus menyiapkan kajian ilmiah bagi melengkapkan keperluan dalam pengajian peringkat sarjana. Alhamdulillah tanggungjawab tersebut sudah menghampiri penamatnya semasa catatan ini ditulis. Sekiranya orang lain berasa gembira kerana berjaya menamatkan pengajian, tetapi tidak bagi saya. Agak berat sebenarnya untuk menamatkan pengajian kerana ini bermakna saya akan menyambung balik rutin kerjaya sebelum ini dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di pejabat. Apabila sudah masuk bertugas kembali, masa saya untuk travel secara automatiknya juga akan terhad.

Kembali kepada tujuan catatan perjalanan untuk kali ini, saya mengambil kesempatan baki cuti belajar saya dan kebetulan jatuh pada cuti Hari Raya untuk meluangkan masa di Pulau Tioman iaitu pada 22-24 Julai 2015. Pulau yang terletak di sempadan Pahang dan Johor ini senantiasa menggamit kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara. Malahan Pulau Tioman juga dinobatkan sebagai salah satu pantai yang terbaik di Malaysia oleh daily.com.uk. Anda boleh membaca pengiktirafan ini di http://www.dailymail.co.uk/travel/article-1335856/Beach-holidays-Tioman-island-worlds-best-kept-travel-secrets.html. Pulau Tioman juga mendapat pengiktirafan sebagai salah satu daripada 100 pantai tercantik di dunia oleh CNN.

Perjalanan saya dimulakan dengan menggunakan bas Transnasional dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Mersing. Saya mengambil bas pukul 9.00 pagi dan dijangka tiba di Mersing sekitar jam 2.30 petang. Manakala perjalanan feri, saya  decide untuk mengambil trip jam 4.00 petang. Berdasarkan perancangan ini saya punyai cukup masa untuk berehat sebentar setelah tiba di bandar Mersing sebelum meneruskan perjalanan ke Tioman. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Mersing melalui Kuala Pilah, Serting (gugusan FELDA Palong), Muadzam Shah, Kuala Rompin, Endau dan seterusnya ke Mersing. Perjalanan berjalan lancar memandangkan tidak banyak kenderaan walaupun keadaan jalan raya tidak begitu rata. Bas akan berhenti sebentar untuk minum sebelum tiba di Bandar Muadzam Shah dan berhenti sekali lagi untuk menurunkan penumpang di Kuala Rompin.

Ketika bas dalam perjalanan di Endau, saya dihubungi wakil agen feri yang telah saya booking memaklumkan supaya segera menunggu di Jeti Mersing sebelum jam 3.00 petang memandangkan feri akan bergerak awal dari jadual yang ditetapkan. WTF!..aduss..dari Endau ke Mersing mengambil masa kira-kira 30 minit dan ketika itu saya hanya ada kira-kira 20 minit untuk tiba pada waktunya! Setibanya saya di terminal bas baru Mersing saya terus berlari ke Jeti Mersing yang terletak kira-kira 6oo meter dari stesen bas Mersing. Feri ini adalah trip terakhir ke Tioman, sekiranya terlepas saya terpaksa mengambil trip keesokan hari. Lagi satu hal yang menyesakkan..seingat saya terminal bas Mersing terletak bersebelahan Jeti rupanya telah berpindah ke lokasi baru...haishhh.

Alhamdulillah, walaupun sedikit lewat dari sepatutnya, setiba di jeti saya terus mengambil tiket dari wakil agen, mendaftar nama dan membuat bayaran conservation fee Taman Laut. Sebenarnya saya membeli dua tiket feri, memandangkan rakan yang sepatutnya bersama saya tidak dapat sertai last minute, saya terpaksa refund kepada agen. Biasalah, bila refund tak dapatlah jumlah penuh, agen hanya tolak RM5.00 sahaja dari setiap tiket. Ok lah tu daripada saya terus menanggung kerugian. Di Jeti Mersing saya sempat menunaikan solat jamak zohor dan asar di surau yang cukup hanya memuatkan 3 orang dewasa sahaja.


Jeti Mersing

Secara peribadi saya merasakan kemudahan Jeti Mersing sangat tidak menggambarkan kemudahan yang setidak-tidaknya seperti di Jeti Kuala Perlis atau Kuala Kedah. Nak compare dengan Jeti Kuah lagi lah jauh. Kemudahan yang disediakan sangat terhad. Ruang menunggu yang agak kecil, kemudahan tandas tidak mencukupi, kedudukan kedai dan food court sedikit jauh, kemudahan surau tidak sempurna sedikit sebanyak mengganggu mood saya. Meskipun ketika itu bukan cuti umum dan cuti sekolah, keadaan di Jeti agak ramai dengan kehadiran pelancong asing dan tempatan yang hendak ke Tioman. Keadaan tidak begitu selesa meskipun kipas terpasang kerana cuaca agak panas ditambah dengan bilangan pelancong yang bersesak-sesak. Akhirnya tepat jam 3.40, feri bergerak dari Mersing menuju ke Pulau Tioman. Perjalanan berjalan lancar dengan keadaan air laut yang tenang dan tidak bergelora. Tempat duduk adalah free seating, so pandai-pandai lah anda cari seat yang strategik (terlindung dari pancaran cahaya matahari). Perjalanan mengambil masa satu setengah ke dua jam bergantung kepada lokasi penginapan di Pulau Tioman.


Pantai Kg Salang

Feri akan berhenti di enam lokasi Jeti yang berbeza. Sila pastikan anda turun di jeti yang betul. Sepanjang berada di sini, saya menginap di Salang Sayang Resort yang terletak di Kampung Salang iaitu bahagian utara Pulau Tioman. Jeti Kg Salang merupakan Jeti terakhir persinggahan feri untuk menurunkan penumpang selepas Jeti Genting, Jeti Paya, Jeti Tekek, Jeti Panuba. Resort ini terletak di hujung Kg. Salang atau 5 minit berjalan kaki daripada Jeti Salang. Berdasarkan kepada review dalam internet, saya memilih resort ini kerana kedudukannya berhadapan dengan pantai yang landai dan menjadi tumpuan pengunjung mandi manda. 


Jeti Kg Salang

Saya tiba di Jeti Kg Salang jam 6.00 petang. Setiba di sini keterujaan melanda apabila melihat kejernihan air laut di sekitar Jeti. Tanpa membuang masa, tangan saya pantas mengambil kamera dan membidik beberapa foto untuk diabadikan sebagai koleksi peribadi. Hidupan marin  dapat dilihat secara jelas dari jeti ini. Malahan, aktiviti discover scuba juga bermula dari jeti Kg. Salang.

Kompleks Salang  





Peta Kg. Salang


Keterujaan  agak sedikit terganggu apabila saya berjalan kaki ke resort. Mengambil contoh keadaan di food court Kompleks Salang yang tidak terurus dan agak kotor. Begitu juga sepanjang jalan menuju ke Salang Sayang Resort dan Salang Pusaka Resort, banyak peralatan nelayan dan bot lama yang sepatutnya boleh dibuat pelupusan terbiar begitu sahaja sehingga mencacatkan keindahan Pulau Tioman. Belum lagi botol-botol dan tin minuman yang bersepah. Sorry lah, saya agak concern perkara ini. Sebagai frequent traveller saya melihat aspek kebersihan perlu dititik beratkan oleh penduduk tempatan tanpa mengharapkan sepenuhnya tanggungjawab itu kepada Pihak Berkuasa.

Sebahagian bilik di Salang Sayang Resort 


Pemandangan di hadapan Salang Sayang Resort

Sebahagian lagi view dari hadapan resort

Saya membuat tempahan di Salang Sayang Resort melalui laman web resort ini. Dimiliki sepenuhnya oleh anak tempatan Kg. Salang, resort ini diuruskan oleh Chill iaitu anak kepada pemilik resort ini. Aku ingatkan mat salleh mana dia ni..rupanya orang sini. Bapanya penduduk Tioman dan berkahwin dengan warga Dutch. Kalau jumpa dia, tak usahlah korang tergeliat nak speaking, Chill boleh berbahasa melayu dengan baik. Seorang yang approachable dan senang untuk berkongsi cerita. Dia ni lah yang jaga reception dan dia jugaklah yang kemas bilik. Jimat kos operasi resort!. Oh ye, kadar penginapan semalaman bagi bilik dilengkapi dengan aircond sebanyak RM130/per nite.



Selain Salang Sayang Resort, terdapat beberapa resort lain di Kg Salang seperti Salang Indah Resort, Salang Pusaka Resort, Pak Long Lodge and Accomodation, Ella Chalet, Huts Chalet. Kesemua chalet ini diusahakan oleh penduduk di sini. Setiap resort mempunyai kemudahan cafe dan kedai runcit untuk kemudahan pengunjung. Bercerita pasal makanan, umumnya harga di sini sedikit tinggi berbanding di Mersing. Kos logistik dari Mersing ke Pulau Tioman menyumbang kepada kadar harga bahan mentah  agak tinggi. 

Tak payah lah nak korang nak kedekut sangat berbelanja di sini atas alasan kos tinggi. Sekali sekala apa salahnya membantu peniaga di sini. Mereka amat mengharapkan pelancong yang hadir berbelanja di gerai mereka sebagai punca pendapatan utama mereka. Tak gitu.










Sunset di Kg. Salang

Untuk hari pertama tidak banyak aktiviti yang saya lakukan. Selepas makan malam di Restoran Salang Indah Resort, saya menghampiri kiosk menawarkan pakej snorkeling, fishing dan diving. Secara umumnya pakej yang ditawarkan adalah lebih kurang sama. Untuk aktiviti island hopping pengunjung diberi pilihan untuk mengambil round island package yang mengambil masa dari jam 10.00am-5.00pm. Manakala coral island package pengunjung akan dibawa ke beberapa lokasi snokerling dari jam 10.00am-2.30. Memandangkan tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan, saya decide untuk pilih round island package dengan kos RM100.00 per pax. Walaupun begitu saya dimaklumkan untuk package ini jumlah penumpang masih lagi tidak mencukupi sekurang-kurang enam orang. Termasuk saya, baru 3 orang sahaja yang telah book package ini. Jimie (operator tour island) memaklumkan sekiranya masih tidak mencukupi jumlah minimum yang ditetapkan, beliau akan tukarkan kepada coral island dan lebihan wang akan dikembalikan.

Untuk waktu malam tidak banyak aktiviti yang dilakukan. Bagi pelancong asing waktu sebegini mereka habiskan dengan berkumpul dan bersembang sambil minum. Kalau dah ada minuman beralkohol malas pula nak joint diorang. Di resort ini tidak disediakan kemudahan TV. Walaupun begitu kemudahan Wifi disediakan dan kelajuannya so so sahajalah. Waktu malam agak membosankan. Oleh kerana tidak ada yang hendak dilakukan saya masuk tidur lebih awal pada malam ini setelah seharian menghabiskan masa dalam perjalanan ke sini.

Setakat ini sahaja dahulu catatan saya pada hari pertama di Tioman.

Tips 

  • Waktu yang paling sesuai untuk ke Pulau Tioman adalah dari Mac hingga Oktober. Pada waktu ini cuaca baik dan laut tidak bergelora. Bagi anda yang berhajat untuk melakukan aktiviti diving, bulan Mei/Jun adalah tempoh yang sangat ideal kerana dikatakan keadaan air laut seperti cermin. Bermula November hingga Februari kebanyakan resort menghentikan operasi sementara mereka. Dalam tempoh ini penduduk Pulau Tioman dan pekerja resort akan balik ke tanah besar untuk meneruskan aktiviti harian mereka di sana.
  • Untuk ke Mersing atau Kuala Rompin anda tidak mempunyai banyak pilihan. Selain memandu sendiri kenderaan, pengangkutan awam seperti bas ekspres adalah pilihan terbaik ke sini. Kebanyakan pelancong asing mengambil bas dari Terminal Bersepadu Tasik Selatan atau mengambil teksi dari Airport Senai.
  • Perjalanan feri ke Pulau Tioman adalah tidak tetap dan bergantung sepenuhnya kepada keadaan pasang surut air laut. Oleh yang demikian, anda perlu menyemak jadual pasang surut yang dikemas kini setiap bulan oleh Jabatan Meteorologi bagi memastikan anda merancang perjalanan dan mengambil trip yang betul.
  • Terdapat banyak pilihan penginapan di Pulau Tioman. Dari private hotel, 4 star hingga lah tiada star. Terpulang kepada bajet anda dan jenis percutian yang anda rancang. Kalau sekadar nak menghabiskan masa bermalas-malasan di resort yang tiada hiruk pikuk, feeling privacy yang tinggi, maka Tunamaya adalah pilihan terbaik. Kadar biliknya juga terbaik!. Tapi kalau merancang untuk explore hidupan marin di sini, resort tiada star sudah memadai untuk anda.
  • Tiada kemudahan perbankan di Kg Salang. Sila bawa secukupnya duit untuk keperluan anda. Walaupun begitu, sekiranya terdesak, anda boleh menyewa bot teksi ke Kg Tekek (mengambil masa 10 minit perjalanan) untuk mengeluarkan wang di ATM.  Kadar bot teksi adalah berbeza mengikut destinasi.

No comments:

Post a Comment