Friday 26 December 2014

Trip ke Bali 2014 - Part 5


Hari kelima adalah hari terakhir saya di Bali. Rasanya memadai perjalanan lima hari empat malam saya di Bali untuk kali ini. Meskipun banyak lagi tempat-tempat menarik dan pelbagai aktiviti outdoor masih belum diterokai, saya berazam untuk datang lagi ke Bali pada masa akan datang bagi melengkapkan penjelajahan saya di pulau yang penuh dengan pelbagai tarikan. Selepas berjogging di pantai Kuta pagi ini, saya hanya berehat sahaja di hotel sebelum check-out pada pukul 10.30 pagi dan mengambil penerbangan balik pada jam 12.55 tengahari. Walaupun begitu, kira-kira jam 9.30 pagi saya menerima email dari Malindo Air memaklumkan terdapat perubahan waktu perjalanan Denpasar-Kuala Lumpur OD305 ditangguhkan sehingga 3.55pm. Ekoran penangguhan waktu perjalanan saya memutuskan untuk check-out lewat sedikit.

Kira-kira 11.30 pagi saya check-out dari hotel. Sebelum itu, saya telah book airport transfer dengan Ceria Transport bagi memudahkan pergerakan ke airport. Setelah setengah jam menunggu kenderaan yang sepatutnya membawa saya ke airport tidak muncul, saya follow up dengan person in-charge di kaunter untuk bertanyakan sebab kelewatan kenderaan. Saya dimaklumkan bahawa kenderaan tidak dapat melalui jalan hadapan hotel disebabkan terdapat upacara agama di persimpangan jalan ke hotel. Beliau cuba untuk mendapatkan kenderaan dengan menghubungi teksi blue bird, namun masih tidak juga muncul kenderaan di hadapan hotel.

Jam menghampiri pukul 12.30 tengahari,  Ceria Transport tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan jalan telah ditutup. Beliau tidak sampai hati membiarkan saya berjalan kaki di bawah panas mentari dengan membawa dua buah beg dan dua keping painting untuk mendapatkan teksi di Angel Hotel. Sebagai jalan penyelesaian, beliau mendapatkan bantuan dari seorang pegawai keselamatan hotel untuk membawa saya ke airport dengan bersepeda motor! Haha.. saya terfikir sejenak bagaimana nak angkut dua buah beg,  dua keping painting ditangan dengan menaiki skuter. Tanpa banyak bicara, pengawal keselamatan tersebut meletakkan beg beroda di hadapan (terletak dikaki beliau) dan dua keping painting yang panjang saya memegang sahaja.

Mengawal keseimbangan badan semasa membonceng
skuter sangat penting!
Tanpa memakai helmet, pengawal keselamatan meluncur laju skuter beliau melalui lorong-lorong kecil menuju ke airport. Jalan-jalan utama sekitar Kuta telah ditutup bagi memberi laluan kepada upacara keagamaan yang dijalankan di persimpangan jalan. Saya memuji kecekapan pengawal keselamatan membawa skuter meskipun dalam keadaan terbeban, beliau berjaya mengawal keseimbangan skuter dengan baik. Tidak sampai 15 minit, kami tiba di Lapangan Terbang Ngurah Rai dan saya terpaksa mengheret beg ke terminal antarabangsa dengan jarak yang agak jauh kerana skuter tidak dibenarkan masuk ke kawasan airport. Meskipun pada peringkat awalnya beliau telah menghantar penulis ke terminal domestic kerana menyangka saya hendak balik ke Jakarta!
[saya]                 ..Pak saya mahu balik ke Kuala Lumpur..bukannya Jakarta..
[supir]                  waduh bapak bisa ngomong seperti orang Jakarta ya...
[psaya]              ...iya..bisa ngomong dikit-dikit bahasa indonesia Pak..kiki
Sebagai tanda ucapan terima kasih saya memberi tips kepada beliau sebanyak IDR30.000 kerana kesanggupan beliau membawa  ke airport dalam waktu yang agak terdesak dengan selesa dan selamat.

Ngurah Rai Airport
Memandangkan jadual perjalanan masih lagi lama, saya menghabiskan masa di salah sebuah café di ruang menunggu dengan menyambung tugasan kuliah yang masih belum disiapkan. Kebanyakan café di sini menyediakan workstation khas bagi kemudahan pelancong untuk melayari internet. Saya hanya memesan segelas fresh orange sambil melayari internet bagi menyiapkan tugasan yang masih tertangguh..huhu. Oh ye, untuk perjalanan balik, semua penumpang dikehendaki untuk membayar airport tax berjumlah IDR200.000. Sila pastikan jumlah tersebut diasingkan awal-awal bagi mengelakkan anda stranded di aiport. 

Di Departure Hall, selain terdapat kedai-kedai barangan bebas cukai, pelancong juga dihiburkan dengan persembahan muzik tradisional Bali bagi menyampaikan mesej ucapan terima kasih dan selamat jalan kepada pelancong yang telah melancong di Bali. Saya merasakan mesej yang cuba disampaikan oleh kumpulan pemuzik itu gagal, kerana saya merasakan seperti tidak mahu balik ke Kuala Lumpur pula! hahaha...

Tepat jam 4.15 petang, penerbangan OD305 memulakan perjalanan balik ke Kuala Lumpur. Hingga disini catatan saya bagi pengembaraan selama 5 hari empat malam di Bali. Banyak kenangan dikumpul sepanjang tempoh ini dan yang penting cita-cita saya untuk membuat photoshoot   di Bali tercapai. 

Selamat tinggal Bali dan saya akan kemBali lagi!



No comments:

Post a Comment