Saturday 13 December 2014

Trip ke Bali 2014 - Part 1

Malindo Air

Alhamdulillah, sebagaimana yang dirancang akhirnya aku tiba di Bali tanggal 8 Disember 2014 dengan menggunakan penerbangan Malindo Air OD306. Pertama kali menggunakan perkhidmatan Malindo Air ternyata memberi keselesaan  dengan ruang tempat duduk yang lebih luas terasa selesa terutamanya untuk perjalanan yang memakan masa selama 3 jam. 

Nampak gayanya, selepas ini aku akan lebih kerap menggunakan Malindo Air untuk perjalanan yang memakan masa melebihi dua jam. Kos penerbangan pergi dan balik sebanyak RM344 termasuk  kos untuk tax, surcharge dan bagasi seberat 20 kg. Snack disediakan secara percuma dalam penerbangan dan penumpang boleh membeli makanan dan minuman lain didalam penerbangan sekiranya terasa lapar.

Wakil tour agent/hotel bersama signboard tertulis nama pelancong

Untuk makluman, sebelum ke Bali aku telah menghubungi tour agent Ceria Transport di Tune Hotel untuk mengambil di airport pada tarikh dan waktu yang ditetapkan. Bagi perjalanan untuk dua hari pertama, Pak Agues diberi tanggungjawab untuk membawa saya ke beberapa tempat menarik  Bali.

Rata-rata pemandu di Bali ini boleh dipercayai, peramah dan jujur. Mereka sangat membantu apabila terdapat keperluan lain yang tidak termasuk dalam itinery perjalanan. Aku sendiri tidak terikat dengan itinery yang disediakan oleh Pak Agues, terpulang kepada aku untuk menentukan tempat mana yang hendak dilawati bersesuaian dengan tempoh tour yang kita pilih.


Tune Hotel Kuta, tiada ruang untuk parkir 
kenderaan kecuali motosikal


Sepatutnya aku terus ke hotel untuk check-in sebelum memulakan lawatan ke Uluwatu, memandangkan perut terasa lapar, aku meminta dibawa ke Restoran Ayam Lunak Malioboro untuk lunch. Restoran ini adalah antara salah satu restoran yang cukup terkenal di Indonesia. Menu utama disini  berasaskan ayam yang dimasak dengan pelbagai cara dan apa yang pasti, tulangnya sangat lembut dan boleh dimakan. Ketika berada di restoran ini banyak tour group baru tiba untuk makan tengahari.


Statue Plaza Garuda di GWK

Selepas check-in, aku mula bergerak ke destinasi pertama iaitu Garuda Wishnu Kencana (GWK). GWK menempatkan beberapa statue utama iaitu statue Plaza Garuda dan Dewa Wishnu di atas bukit bagi menggambarkan sebahagian adat dan kepercayaan spiritual penduduk Bali. Hampir 80% penduduk Bali adalah beragama hindu meskipun Indonesia adalah mempunyai penduduk beragama Islam teramai di dunia. 

Salah satu taman di GWK

Selain dua statue ini, pelancong juga boleh menyaksikan persembahan tradisional Bali pada waktu yang ditetapkan di ruang amphitheatre. Pada masa akan datang, pelancong boleh menyaksikan sebuah ukiran batu di dinding bukit GWK yang menceritakan mitos kepercayaan mereka. Buat masa ini ukiran tersebut masih lagi dilaksanakan oleh pengukir Bali yang diiktiraf antara yang terbaik di Indonesia.



Pura Uluwatu


Pemandangan indah di Uluwatu



Selepas menghabiskan masa kira-kira 40 minit di sini, aku terus bergerak ke Uluwatu. Uluwatu adalah tarikan obyek wisata (tarikan pelancong) di kawasan yang paling hujung di selatan Bali. 

Untuk masuk ke Uluwatu, bayaran sebanyak IDR20.000 dikenakan dan bagi pelancong yang memakai seluar/skirt pendek dikehendaki memakai sarong berwarna ungu dan diikat dengan lilitan kain berwarna kuning, manakala pelancong yang memakai pakaian yang sopan cukup memadai mengenakan lilitan kain kuning dipinggang. Syarat ini dikenakan sebagai menghormati kawasan temple di sini.


Sebahagian penonton yang menyaksikan tarian kechak


Pembukaan tarian kechak "...kechak...kechak...kechak"


Salah satu babak penting dalam tarian kechak

Setiap jam 6.00 petang, pelancong boleh menyaksikan persembahan tarian kechak yang diadakan di ruang khas berlatarbelakangkan matahari terbenam di Uluwatu. Bagi menyaksikan tarian kechak, bayaran sebanyak IDR100.000 dikenakan. 

Tarian kechak tidak menggunakan sebarang instrumen muzik sebagai muzik iringan. Mereka menggunakan sepenuhnya kekuatan kombinasi suara berkumpulan untuk membentuk satu gabungan suara harmoni yang sangat unik. Penari ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan setiap kumpulan mengalunkan rima/bunyi yang berbeza dengan kumpulan lain.


Sunset di Uluwatu

Persembahan ini diketuai oleh seorang komando, dan dibantu oleh beberapa peranan penting seperti ketua muzik, persembahan tarian kechak ini ternyata memukau penonton. Dengan bunyi kechak..kechak..kechak..pelancong dihiburkan dengan persembahan yang menggabungkan elemen muzik, tarian dan drama yang berlatarbelakangkan matahari terbenam di atas bukit di tepian laut! 


Penutup tarian kechak


Sepanjang perjalanan pada hari pertama, Pak Agues banyak bercerita tentang sikap dan kepercayaan masyarakat Bali. Masyarakat Bali sangat kuat berpegang kepada kepercayaan mereka yang seterusnya membentuk sikap dan jatidiri. Mereka percaya kepada konsep karma atau balasan ke atas setiap perbuatan mereka. Meskipun Bali tidak-putus-putus dikunjungi oleh pelancong dari luar negara, namun mereka tetap patuh melaksanakan tanggungjawab agama mereka dan budaya ini menjadi sebahagian daripada produk pelancongan yang hidup di Bali. 

Cukup catatan perjalanan pada hari pertama setakat ini. Untuk keesokan harinya saya merancang untuk melawat Kintamani dan beberapa lagi kawasan tumpuan pelancong yang wajib dilawati.

Itineri perjalanan pada hari pertama 8 Disember 2014 :

7.20am         -        Bertolak dari rumah ke Putrajaya Central dan parking kereta di sana.
                             (bayaran parking bagi 5 hari RM18.00)
9.20am         -        Bertolak dari KLIA2 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai 
                             Denpasar.
12.20 tghari  -       Tiba di Lapangan Terbang Ngurah Rai Denpasar.
1.15 pm        -        Lunch di Restoran Ayam Lunak Malioboro.
1.45 pm        -        Daftar masuk Tune Hotels, Kuta.
2.30 pm        -        Bergerak ke Garuda Wishnu Kencana (GWK) (tiket masuk IDR100.000)
3.30 pm        -        Bertolak ke Uluwatu (tiket masuk IDR20.000)
6.00 pm        -        Menyaksikan tarian Kechak di Uluwatu (tiket IDR100.000)
7.00 pm        -        Bertolak balik ke Hotel.

- Bagi half day tour saya dikenakan bayaran sebanyak IDR400.000 (pemandu, kereta dan petrol). Kadar ini adalah agak tinggi dari kebiasaannya dan tour agent menggunakan alasan kenaikan harga gasoline di Indonesia menyebabkan kos tour turut menerima kesan kenaikan.

Tips :

          Pelancong tidak perlu mempelawa pemandu atau tour guide untuk makan bersama meskipun kita membelanja mereka. Sebenarnya mereka telah disediakan makanan di tempat tumpuan pelancong dan mereka juga diberikan komisen kerana membawa pelancong ke tempat mereka. Perkara ini perlu dihighlight kerana saya terserempak dengan satu kumpulan pelancong dari Malaysia bersungguh-sungguh mempelawa pemandu atau tour guide  untuk makan bersama.

      Untuk pertukaran wang asing, elok ditukar siap-siap terlebih dahulu di Malaysia. Pengalaman penulis menukar wang di Bali tidak sangat menguntungkan. Anda juga perlu rajin membuat survey untuk mendapatkan kadar pertukaran wang yang menguntungkan dan tidak digalakkan menukar wang di Lapangan Terbang kerana kadar yang tinggi. Semasa saya menukar RM kepada IDR di Malaysia, saya dapat tawaran terbaik iaitu RM277 untuk IDR1.000.000.

   Sila ambil perhatian keperluan komunikasi. Sila aktifkan fungsi perantauan antarabangsa dengan mengunjungi wakil telco anda di Malaysia. Kadar yang dikenakan agak tinggi berbanding biasa memang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, saya suka menyarankan supaya anda membeli simkad di Bali dan boleh membuat panggilan ke Malaysia dengan kadar yang lebih murah.

         Hormati adat dan kepercayaan masyarakat di sana. Di Bali, patung-patung Budhha dan Hindu mudah kelihatan bukan sahaja di pura, bahkan di kesemua tempat samada di persimpangan jalan, bulatan jalan raya, rumah kediaman, kedai termasuk juga hotel dan kemudahan awam yang lain. Tindak tanduk pelancong menghina atau mentertawakan patung-patung tersebut dikhuatiri mendatangkan 'gangguan' kepada anda kerana mengikut kepercayaan masyarakat Bali patung-patung ini mempunyai roh/spirit tertentu. Sebagai muslim, anggaplah patung-patung tersebut sebagai sebahagian daripada kepelbagaian anutan agama dan kepercayaan masyarakat di sini.




No comments:

Post a Comment