Wednesday 24 December 2014

Trip ke Bali 2014 - Part 4

Entrance Monkey Forest
Hari keempat saya merancang untuk meneruskan lawatan ke Bedugul dan Tanah Lot. Dua destinasi wajib yang perlu dikunjungi terutamanya pada mereka yang berminat dengan subjek natural landscape fotografi. Perjalanan pada hari ini, saya tidak lagi menggunakan perkhidmatan Pak Agues. Saya menggunakan perkhidmatan tour di kaunter sekitar area Tune Hotels dan penulis mendapat tawaran yang agak menarik iaitu IDR500.000 bagi full day tour. Perjalanan bermula jam 8.30 pagi. Dalam perjalanan ke Bedugul, pengunjung akan dibawa untuk melawat beberapa pura penting sebagai sebahagian daripada program lawatan. Walau bagaimanapun, saya tidak tertarik untuk masuk kesemua pura yang ditetapkan dalam jadual perjalanan. Sebagai contoh, lawatan ke Monkey Forest, saya hanya mengambil photo shoot di entrance sahaja.

Pura Ulu Danu Beratan
 Perjalanan pagi ini menempuh trafik yang sesak ekoran waktu ini adalah waktu puncak untuk para karyawan (pekerja) pergi ke kantor (pejabat). Perjalanan ke Bedugul memakan masa selama satu setengah hingga ke dua jam. Bedugul merupakan bahagian yang terletak di Utara Bali diantara Singaraja dan Denpasar. Kawasan ini dikelilingi bukit bukau dan danau yang indah. Sebagaimana di Kintamani, Bedugul juga terletak di kawasan tanah tinggi. Cuaca disini agak dingin dan menerima taburan hujan yang agak tinggi berbanding kawasan lain di Bali. Pelancong akan di bawa ke Pura Ulu Danu Beratan yang terletak di antara danau dan gunung. 


Danau Beratan
Satu pemandangan yang cukup indah dan pura ini menjadi salah satu ikon penting pelancongan Bali. Saya tiba jam 12.00 tengahari dan ketika tiba disini, hujan turun dengan lebatnya dan sedikit sebanyak menyukarkan saya mengambil photoshoot yang menarik. Keadaan di pura juga agak sibuk memandangkan masyarakat Bali sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Hari Raya Kuningan dan Gulingan pada 17 dan 20 Disember nanti.




Masjid di Bedugul bertentangan
dengan Pura Ulu Danu Beratan
Bertentangan dengan Pura Ulu Danu Beratan adalah penempatan masyarakat Muslim. Di sini terletak sebuah masjid di atas bukit bagi kemudahan komuniti Islam setempat mengerjakan kewajipan. Suara azan juga kedengaran dengan jelas sehingga ke kawasan pura. Untuk makan tengahari, saya menjamu selera di salah sebuah restoran Muslim yang terletak bertentangan dengan Pura Ulu Danu Beratan. Bagi hidangan tengahari saya memesan dua set nasi ayam panggang (lalapan style), satu set ikan tilapia masak tauchu dan satu bakso sapi hanya IDR94.000 sahaja. Di restoran ini juga disediakan ruang solat bagi memudahkan pengunjung beragama Islam menunaikan kewajipan..alhamdulillah.

Entrance ke Tanah Lot
Setelah menjamu selera, saya mula bergerak ke Tanah Lot lebih kurang jam 1.30 petang. Perjalanan dari Bedugul ke Tanah Lot memakan masa satu setengah jam sahaja. Semasa perjalanan ke Tanah Lot, saya dibawa singgah ke Pura Taman Ayun yang merupakan antara salah satu pura tertua di Bali. Saya tidak masuk ke kawasan Pura Taman Ayun, cukup sekadar mengambil photoshoot di entrance sahaja. Saya tiba di Tanah Lot sekitar jam 3.00 petang. Untuk masuk ke Tanah Lot, pengunjung dikenakan bayaran IDR20.000 per pax. Tanah Lot adalah salah satu obyek wisata kerana menawarkan lanskap yang sangat menarik. Di Tanah Lot terletak sebuah pura di atas bukit batu di tepi pantai. Pemandangan di sini cukup menggamit penggemar fotografi untuk mengambil beberapa photoshoot terutamanya sewaktu matahari terbenam.

Pesisir pantai Tanah Lot
Terdapat banyak gerai cenderamata didirikan di sini dan kali ini saya tertarik dengan salah satu gerai yang menjual painting dan membeli sekeping painting berbentuk abstrak dengan kos IDR300.000. Sudah menjadi kebiasaan kepada saya untuk mendapatkan painting sekiranya melancong ke luar negara sebagai kenang-kenangan. 




Pura Tanah Lot
Saya tidak banyak menghabiskan masa di Tanah Lot, sekadar menikmati pemandangan indah di sini dan mengambil beberapa photoshoot untuk koleksi peribadi. Memandangkan waktu matahari terbenam masih lagi jauh, saya memutuskan untuk bergerak pulang tanpa menunggu moment matahari terbenam.


Tanah Lot dari sudut berbeza

Sebelum tiba di hotel, saya singgah sebentar di Krishna Mall untuk membeli sedikit cenderamata untuk dibawa balik. Krishna Mall antara salah satu pusat membeli belah yang cukup terkenal di kalangan pelancong kerana menawarkan pelbagai barangan cenderamata dengan harga yang lebih murah. Selain Krishna Mall, Hawaii Ole-ole juga menjadi tumpuan untuk mendapatkan cenderamata. Bagi sesetengah pelancong, aktiviti membeli belah semasa melancong adalah sesuatu yang menyeronokkan dan saat ini sangat dinanti-nantikan oleh mereka, tetapi tidak kepada saya, saat membeli belah adalah aktiviti yang agak “menyeksakan” kerana saya bukan dari golongan yang suka membeli belah!..haha. 

Krishna Mall

Lebih kurang jam 7.30 malam, saya tiba di hotel setelah menghabiskan masa yang "menyeksakan" di Krishna Mall. Setibanya di hotel, selepas menunaikan solat saya terus tertidur akibat kepenatan berjalan hampir sehari suntuk. Makan malam cukup sekadar mee segera yang boleh didapati di mini mart di bawah hotel. Sehingga ke malam yang keempat, saya masih lagi tidak berkesempatan untuk mengunjungi cafĂ©/pub bagi menikmati live band di sekitar Kuta..huhu. Saya lebih meminati live band berkonsepkan jazz berbanding dengan genre muzik lain yang membingitkan telinga. Terdapat beberapa tempat di sekitar Kuta dan Legian yang menampilkan live band jazz.

Sehingga ini sahaja catatan saya pada hari keempat. Saya berasakan sudah banyak tempat menarik yang perlu dikunjungi oleh pelancong telah saya jejaki. Malam ini saya perlu membuat sedikit persiapan untuk balik ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya.

Itinery perjalanan 11 Disember 2014

8.30   am -  Bertolak ke Bedugul
10.30 am -  Tiba di Monkey Forest
11.30 am -  Tiba di Bedugul, Pura Danau Beratan
                  Lunch
1.30 pm  -  Bertolak ke Tanah Lot
2.30 pm  -  Tiba di Pura Taman Ayun
3.30 pm  -  Tiba di Tanah Lot
5.00 pm  -  Bertolak balik ke Denpasar
6.30 pm  -  Membeli belah di Krishna Mall
7.30 pm  -  Tiba di Hotel

Tips :

Bagi mereka yang gemar membeli belah dan mahir dalam membuat bargain tidak akan menghadapi masalah untuk membeli belah di gerai-gerai cenderamata disekitar kawasan tumpuan pelancong. Tapi bagi merea yang tidak mempunyai kemahiran yang tinggi dalam membuat bargain, membeli belah di Krishna Mall, Hawaii Ole-ole adalah jalan paling selamat kerana harga yang ditawarkan adalah rendah dan mempunyai pelbagai pilihan.

Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia fotografi, sila pastikan anda mempunyai asas dalam membuat setting yang betul keatas DSLR anda bagi mendapatkan hasil yang baik. Rugi sekiranya anda terlepas peluang merakamkan  landscape di Bali kerana keindahan semulajadinya yang cukup mengagumkan.




No comments:

Post a Comment