Monday 21 April 2014

Trip ke Kundasang

Awesome!.itulah perkataan yang dapat saya gambarkan apabila mula menjejaki kaki ke Kundasang pada 18 April 2014 yang lalu. Sebenarnya percutian di Kundasang yang terletak di daerah Ranau di Sabah adalah salah satu destinasi idaman  sejak mengetahui akan keindahan daerah tersebut. Meskipun telah banyak kali ke Negeri Dibawah Bayu, tetapi inilah kali pertama saya ke sini.

Perjalanan  dengan menggunakan perkhidmatan udara MAS dengan penerbangan MH2604 jam 7.30 pagi. Saya gemar mengambil flight awal kerana kebarangkalian untuk berlaku kelewatan adalah nipis sekali. Inilah kali pertama saya mengambil penerbangan selepas kejadian kehilangan MH370 pada 8 Mac 2014 yang lepas (sehingga kini tiada sebarang penemuan ditemui). Penerbangan berjalan lancar sebagaimana yang dijadualkan. Saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu tepat jam 10.15 pagi dan terus meluru ke Balai Ketibaan untuk mengambil kereta yang telah ditempah sebelum ini. Penulis mengambil MyVi dengan kadar sewa RM140/sehari. Alhamdulillah penulis diberikan kereta MyVi yang baru (bau kedai lagi..heheh).

Sejurus mendapat kunci kereta saya terus menuju ke Kundasang bagi memastikan saya dapat tiba di Desa Dairy Farm tepat masanya. Inilah kali pertama saya membawa kenderaan sendiri di Sabah. Alhamdulillah, saya tidak mengalami kesulitan membawa kenderaan di Kota Kinabalu memandangkan saya sangat-sangat familiar dengan jalan-jalan utama di sini. Bagi menghilangkan penat, saya berhenti sebentar di McDonald Likas untuk makan sebentar sebelum meneruskan perjalanan. Dalam perjalanan, saya singgah sebentar di rumah terbalik yang terletak di Tuaran. Lokasi ini sangat terkenal di kalangan pelancong yang ke Sabah, kerana ianya satu-satu rumah terbalik yang ada di Asia Tenggara. Bayaran masuk yang dikenakan adalah sebanyak RM10 bagi seorang dewasa. Bagi mereka yang hanya ingin mengambil gambar di luar kawasan rumah terbalik dikenakan bayaran RM5.00 sahaja. Untuk memasuki rumah terbalik perlu mengikut giliran kumpulan, memandangkan kawasan dalam rumah adalah terhad untuk 15 orang sekali masuk. Bagi saya, rumah terbalik ini adalah biasa-biasa sahaja, apapun anda tetap kena melawat sekali seumur hidup!.

Selepas melawat rumah terbalik, saya teruskan perjalanan ke Kundasang. Kerana ada perasaan riak sebelum ini, saya terlajak dari simpang ke Pekan Tamparuli (untuk ke Kundasang, seseorang perlu mengambil jalan ke Pekan Tamaparuli). Nasib baik tidak jauh sesatnya..hehehe. 

Dari persimpangan Tamparuli saya diberitahu oleh staff Stesen Minyak Petronas bahawa perjalanan adalah mendaki bukit untuk tempoh sejam untuk sampai ke Pekan Kundasang. Yup, bermula perjalanan mendaki bukit. Keadaan jalanraya ke Kundasang adalah sangat baik. PSaya seringkali dimaklumkan bahawa kemudahan jalanraya di Sabah adalah teruk dengan keadaan jalan berlubang, tetapi tidak untuk perjalanan ke Kundasang.

Sepanjang perjalanan, pengunjung akan dihidangkan dengan pemandangan gunung Kinabalu. Waktu ini kelibat puncak gunung Kinabalu tidak kelihatan. Sebelum tiba ke Pekan Kundasang, kita akan bertemu dengan pekan kecil bernama Nabalu. Saya berhenti sebentar di Pekan Nabalu untuk berehat sebentar dan membeli sedikit bekalan untuk dibawa ke penginapan. Selepas seketika, saya meneruskan perjalanan ke Pekan Kundasang, dari Pekan Nabalu ianya mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja ke Kundasang. Akhirnya lebih kurang jam 2.15 petang, saya tiba di Kundasang. Setibanya di Pekan Kundasang, saya dapati keadaan persekitaran Kundasang tidak sepertimana yang digambarkan, keadaan pekan yang agak berdebu dan kotor sedikit sebanyak menjejaskan mood penulis. Saya mencadangkan supaya Majlis Perbandaran Ranau untuk mengambil inisiatif untuk menaiktaraf pekan Kundasnag kerana lokasi pekan tersebut sangat menarik dengan dikelilingi gunung ganang disekelilingnya. 

No comments:

Post a Comment