Thursday, 18 December 2014

Trip ke Bali 2014 - Part 2

Bali ..pulau seribu pura

Hari kedua saya mengambil full day tour dan charge yang dikenakan adalah sebanyak IDR550.000. Setelah berbincang dengan Pak Agues, saya akur untuk dibawa melawat sekitar Ubud dan sebelum meneruskan perjalanan ke Kintamani. Perjalanan bermula jam 8.30 pagi terus menuju ke Ubud. Perjalanan dari Kuta ke Ubud mengambil masa hampir sejam. Ubud merupakan bahagian penting di Bali kerana menempatkan aktiviti-aktiviti seni masyarakat Bali. Sebelum sampai di Ubud, pelancong kebiasaannya akan dibawa untuk menyaksikan tarian barong, walau bagaimanapun saya menolak untuk menyaksikan tarian ini kerana ianya juga dipersembahkan di Malaysia oleh masyarakat Jawa terutamanya di Johor. Di Ubud pelancong akan dibawa ke perusahaan yang menjalankan aktiviti seni dan ukiran seperti membuat batik, ukiran perak dan emas, lukisan dan ukiran kayu.

Aktiviti merekabentuk corak batik

Secara jujurnya saya tidaklah berminat untuk melihat aktiviti-aktivti tersebut kerana ianya juga boleh didapati di Malaysia. Tetapi memandangkan kami mempunyai kelapangan masa yang panjang, Pak Agues memujuk untuk membawa saya ke tempat-tempat diatas. Nak buat bagaimana, ikut sahajalah. Tempat pertama yang dilawati adalah perusahaan membuat batik. Penggunaan tekstil yang menggunakan corak batik di Indonesia tidak dapat dipisahkan dari kehidupan seharian penduduk disana. Malahan batik Indonesia juga terkenal di Malaysia. Cuma yang membezakan corak batik di Bali berbanding bahagian-bahagian lain di Indonesia ialah mereka banyak menerapkan unsur flora dengan gabungan lebih dari dua warna. Dari segi proses dan pembuatannya adalah sama dengan apa yang dilakukan di Malaysia.


Salah satu hasil rekaan berasaskan perak

Lawatan diteruskan ke perusahaan ukiran bahan berasaskan perak dan emas. Disini pengunjung akan ditunjukkan kemahiran yang ada pada masyarakat Bali dalam membuat ukiran daripada bahan berasaskan emas dan perak. Pelawat akan ditunjukkan bagaimana proses ukiran perak dibuat dengan menerapkan unsur-unsur tempatan dalam rekaan mereka. Ukiran perak ini dijadikan barang perhiasan diri untuk wanita, perhiasan untuk dekorasi rumah dan pejabat. Mengukir perak memerlukan tahap kesabaran dan  ketelitian yang sangat tinggi terutamanya apabila ianya melibatkan ukiran yang sangat rumit.




Seterusnya saya dibawa ke galeri lukisan. Kebanyakan karya lukisan disini menggambarkan refleksi mereka terhadap kepercayaan kepada Hindu serta aktiviti masyarakat Bali. Hasil lukisan bertemakan abstrak sangat jarang ditemukan disini dan sekiranya ada kosnya pula agak tinggi. Dari galeri lukisan, kami bergerak ke perusahaan ukiran kayu. Sebagaimana sebelum ini, ukiran-ukiran kayu berbentuk dewa, haiwan sebenarnya menggambarkan akan pegangan kuat mereka terhadap agama Hindu. Ukiran kayu mereka sangat teliti dan halus. Jarang pelancong ditemukan dengan pengukir-pengukir kayu yang hebat ditempat lain dan mereka ini mempunyai kemahiran mengukir yang tinggi.


Buffet lunch di Kintamani

Perjalanan diteruskan ke Kintamani. Apa yang menariknya di Kintamani ialah pelancong dapat melihat pemandangan bekas gunung berapi yang dikatakan masih aktif. Bayaran masuk sebanyak IDR20.000 dikenakan bagi setiap pelancong ke sini. Kebiasaannya pelancong akan makan tengahari di beberapa buah restoran di sini  dengan pemandangan yang berlatarbelakangkan Gunung Batur. Makanan yang disediakan di sini adalah halal dan pelancong mempunyai pilihan samada mengambil makanan buffet ataupun ala carte. Hidangan buffet yang disediakan banyak pilihan dan dari segi rasa ianya tidak banyak bezanya di Malaysia. Kemudahan musollah turut disediakan untuk pengunjung beragama islam menunaikan solat. Walaubagaimanapun, musollah yang disediakan agak kecil dan terpaksa dikongsi antara lelaki dan wanita. Keadaan ini menyulitkan bagi kaum wanita untuk menunaikan solat. Selain itu, cuaca disini agak dingin memandangkan Kintamani adalah kawasan tanah tinggi. Tidak banyak aktiviti boleh dibuat disini, selain makan tengahari, pelancong hanya mengambil gambar berlatarbelakangkan Gunung Batur.

Teh dan kopi pelbagai perisa secara percuma

Sebaik sahaja selesai membuat photo shoot di Kintamani, kami bergerak turun untuk melawat sebuah agrowisata yang mengusahakan proses pembuatan kopi luwak. Kopi luwak hanya boleh didapati di Indonesia sahaja dengan kaedah pembuatannya yang cukup unik. Di sini pengunjung akan didedahkan bagaimana biji kopi yang sudah cukup matang ditaburkan di dalam hutan bagi memberi peluang luwak ataupun musang memakan biji kopi tersebut. Dikatakan bahawa musang mempunyai citarasa yang tinggi terhadap biji kopi dan hanya memilih biji kopi yang terbaik untuk dimakan yang kemudiannya dikeluarkan melalui sistem perkumbuhan haiwan tersebut. Biji kopi yang keluar bersama najisnya kemudiannya dikutip dan dibersihkan sebelum ianya diproses sebagaimana biji-biji kopi yang lain. Dari sudut kebersihan dan status halal telah diperakukan halal oleh Majlis Ulama` Indonesia iaitu sebuah agensi awam yang bertanggungjawab penuh untuk memantau proses halal bagi produk makanan.

Menghabiskan masa berbual bersama Fandi

Pengunjung akan dihidangkan dengan pelbagai jenis teh dan kopi yang dipelbagaikan citarasanya secara percuma. Manakala untuk mencuba secawan kopi luwak, bayaran sebanyak IDR50.000 dikenakan. Di sini saya ditemani oleh Fandi seorang anak muda yang cukup bersemangat menerangkan proses pembuatan kopi luwak. Agak lama juga saya menghabiskan masa disini dan bersembang dengan Fandi yang peramah. Saya juga sempat mengajar Fandi tentang beberapa perkara mengenai orang Malaysia. Lepas ni mas Fandi, kamu nggak bisa memanggil orang Malaysia dengan panggilan bapak/ibu ya…hahah. Selain itu, penulis tertarik dengan konsep agrowisata yang dibangunkan disini. Gabungan senireka lanskap didalam dusun sangat menarik perhatian. 

Selepas lawatan di agrowisata, saya meneruskan perjalanan pulang ke hotel. Perjalanan hari ini agak memenatkan kerana mengambil tempoh masa perjalanan yang panjang dan dan keadaan jalan yang agak teruk. Setakat ini sahaja untuk catatan perjalanan saya pada hari kedua dan bersambung pada bahagian yang seterusnya.

Itinery hari kedua 9 Disember 2014

7.00 am - Jogging di Pantai Kuta

8.30 am - Bertolak ke Ubud
               Lawatan ke perusahaan membuat batik
               Lawatan ke perusahaan ukiran emas dan perak
               Lawatan ke galeri lukisan
               Lawatan ke perusahaan ukiran kayu

12.30pm- Tiba di Kintamani
               Lunch
               Solat

2.30 pm - Lawatan agrowisata pembuatan kopi luwak

4.30 pm - Lawatan ke Temple Ayu

5.30 pm - Balik ke Hotel

Tips : 

Meskipun dalam mood percutian, kecergasan fizikal perlu dititikberatkan. Hal ini perlu diberi perhatian kerana kita banyak menggunakan tenaga bagi sesi lawatan ke sesuatu tempat. Kesempatan berada d Bali, rugi sekiranya anda tidak melakukan aktiviti fizikal seperti berjogging di tepi pantai kerana udaranya yang segar dan baik untuk kecergasan.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, sila ambil perhatian terhadap pengambilan serat dan banyak minum air kosong. Pola pemakanan anda juga akan mengalami perubahan berikutan kita disajikan dengan kepelbagaian makanan tempatan dan kebarangkalian pengambilan makanan kita berlebihan adalah tinggi. Sepanjang perjalanan ke Kintamanai, pengunjung akan melalui ladang buah-buahan temapatan yang diusahakan penduduk kampung. Hasil daripada ladang ini dijual terus di gerai-gerai di tepi jalan. Berhentilah untuk membeli buah-buahan tempatan ini dengan harga yang berpatutan dan berkhasiat.



No comments:

Post a Comment