Monday, 29 December 2014

Trip ke Bali 2014 - Sedikit Catatan Mengenai Bali

Penduduk asal Bali

Secara umumnya populasi penduduk di pulau Bali adalah lebih kurang 4 juta orang. Jumlah ini terdiri daripada penduduk asal pulau Bali itu sendiri iaitu kira-kira 2 juta dan selebihnya adalah expatriate dan juga penduduk dari bahagian lain di Indonesia yang mencari rezeki di Bali. 

Memang agak sukar sebenarnya untuk mencari perbezaan dari segi fizikal antara orang asal Bali dengan mereka yang berasal dari bahagian lain di Indonesia, malah saya pun kadang-kadang disangka sebagai orang Indonesia!.kiki. Menurut Pak Agues, untuk membezakan seseorang itu berasal dari Bali atau tidak adalah dari segi perlakuan mereka. Perkara ini dapat dilihat melalui perlakuan individu yang bukan berasal dari Bali agak agresif semasa approach pengunjung bagi menawarkan tour package

Selain itu, penduduk asal Bali boleh dikatakan lebih menjaga tatasusila dan perilaku daripada perlakuan tidak sopan. Jarang sekali melihat penduduk Bali dilihat melepak tanpa sebarang tujuan di tepi-tepi jalan ataupun shopping complex. Perkara ini mempengaruhi layanan hospitality Bali kepada pelancong. 

Secara jujur saya amat memuji hospitality di Bali antara yang terbaik pernah saya ketemu. Perkara ini bukanlah sesuatu yang asing kerana penduduk asal Bali ini boleh dikatakan mempunyai jiwa yang sangat halus dan amat menghormati orang lain!. Ucapan makasi (terima kasih) tidak pernah lekang dari mulut mereka. Sekiranya anda survey di bahagian ulasan pelawat di portal tempahan hotel, rata-rata pelancong akan memuji keramahan dan kehalusan budi orang Bali.

Agama dan kepercayaan

Hampir 80% penduduk Bali beragama Hindu. Kepercayaan mereka agak berbeza dengan kepercayaan penganut agama tersebut di Malayisa dan dimana-mana tempat lain di dunia. Masyarakat Bali percaya kepada tiga dewa iaitu Brahma, Krisna dan Vishnu. 

Kepercayaan mereka juga banyak dipengaruhi oleh budaya Jawa yang agak dominan dimana-mana bahagian di Indonesia. Melihat kepada pakaian adat mereka yang berupa sepasang kebaya dan berkain batik bagi wanita, serta berbaju tradisi melayu dan tengkolok bagi kaum lelaki. Bagi anda yang tidak biasa dengan kepercayaan mereka, akan berasa pelik apabila melihat simbol agama Buddha juga agak dominan dalam karya-karya seni mereka disamping simbol-simbol dewa dalam kepercayaan Hindu. 

Selain itu, mereka amat percaya kepada mistik dan keajaiban. Pak Agues pernah menceritakan kepada saya bahawa beliau tidak berani untuk memandu keseorangan di kawasan pedalaman pada waktu malam disebabkan beliau pernah terserempak patung Buddha sedang terbaring di tengah jalan diwaktu malam!. 

Mereka percaya, hubungan baik dengan dewa dan makhluk di alam lain sangat penting bagi survival kehidupan mereka. Saya boleh simpulkan bahawa masyarakat Bali sangat taat kepada kepercayaan mereka dilihat daripada komitmen mereka menunaikan tanggungjawab sebagai penganut agama Hindu. Apapun sebagaimana yang telah saya sebutkan sebelum ini, anggaplah kepercayaan mereka sebagai kepelbagaian agama yang wujud di muka bumi ini sesuai dengan firman Allah didalam surah al-Hujurat ayat 13.

Makanan Halal

Mencari makanan halal antara isu yang sering kali mendapat perhatian dikalangan pengunjung Muslim. Dengan majoriti penduduknya bukan beragama Islam, agak sukar untuk mendapatkan makanan halal yang pelbagai di sekitar Kuta. Makanan halal hanya terhad di restoran-restoran makanan segera selain kedai-kedai makan nasi Padang atau Medan. 

Kedai makan muslim juga mudah didapati kawasan tumpuan pelancong walaupun begitu bilangannya adalah terhad. Bagi anda yang sudah biasa melancong ke negara-negara yang majoritinya bukan Muslim mungkin isu makanan halal bukan lagi halangan, tetapi bagi anda yang jarang ke luar negara dan mendambakan makanan seperti di Malaysia anda harus menyesuaikan tekak anda dengan pilihan makanan yang terhad!.

Penjual Jalanan

Anda perlu bersedia untuk dikerumuni penjaja jalanan di tempat-tempat tumpuan pelancong. Mereka akan mendekati anda dan memujuk rayu supaya barang jualan dibeli. Hurmm..amat merimaskan situasi sebegini. Cara yang paling baik dan sopan untuk tidak terus didekati adalah untuk tidak melayani mereka. 

Saya cuba untuk tidak melayani pujukan mereka, walaupun begitu akhirnya saya terperangkap juga dengan taktik seorang penjaja (sudah agak berusia) yang menjual pisang emas. Beliau meletakkan seulas pisang emas di tangan saya untuk dirasa (meskipun saya menolak untuk merasa pisang tersebut!) dan beliau terus mengekori hingga ke kenderaan sambil memegang tangan saya..haishh rimaslah!

 Semasa penjual tersebut memujuk saya untuk membeli pisangnya, beliau menyatakan sehingga saat ini tidak satu pun seikat pisang dapat dijual..berasa kasihan pun ada. Akhirnya atas perasaan tidak sampai hati, psaya beli juga seikat pisang dengan harga IDR5.000. 


Pelancongan dan Bali

Sumber utama ekonomi penduduk di pulau ini adalah melalui aktiviti pelancongan. Berdasarkan pemerhatian penulis, Bali bukan sahaja berjaya memaksimakan kelebihan alam semulajadi sebagai tarikan pelancong, bahkan budaya dan aktiviti masyarakat Bali itu dilihat sebagai satu produk pelancongan yang hidup. 

Tidak hairanlah Bali sangat terkenal di seantero dunia sehinggakan mereka lebih mengenali Bali berbanding Indonesia. Kehebatan industri pelancongan di Bali tidak terhad kepada dua faktor diatas, kesungguhan para karyawan yang bertugas dalam sektor ini sangat luar biasa. Tour guide disini bukan sahaja berkemampuan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, bahkan bahasa-bahasa asing lain seperti Jepun, Russia, Latin dan pelbagai bahasa asing lagi dengan cemerlang dan keupayaan ini sangat mengagumkan. Sehubungan dengan itu, masalah perbezaan bahasa tidak wujud dikalangan pelancong asing ke Bali. 

Friday, 26 December 2014

Trip ke Bali 2014 - Part 5


Hari kelima adalah hari terakhir saya di Bali. Rasanya memadai perjalanan lima hari empat malam saya di Bali untuk kali ini. Meskipun banyak lagi tempat-tempat menarik dan pelbagai aktiviti outdoor masih belum diterokai, saya berazam untuk datang lagi ke Bali pada masa akan datang bagi melengkapkan penjelajahan saya di pulau yang penuh dengan pelbagai tarikan. Selepas berjogging di pantai Kuta pagi ini, saya hanya berehat sahaja di hotel sebelum check-out pada pukul 10.30 pagi dan mengambil penerbangan balik pada jam 12.55 tengahari. Walaupun begitu, kira-kira jam 9.30 pagi saya menerima email dari Malindo Air memaklumkan terdapat perubahan waktu perjalanan Denpasar-Kuala Lumpur OD305 ditangguhkan sehingga 3.55pm. Ekoran penangguhan waktu perjalanan saya memutuskan untuk check-out lewat sedikit.

Kira-kira 11.30 pagi saya check-out dari hotel. Sebelum itu, saya telah book airport transfer dengan Ceria Transport bagi memudahkan pergerakan ke airport. Setelah setengah jam menunggu kenderaan yang sepatutnya membawa saya ke airport tidak muncul, saya follow up dengan person in-charge di kaunter untuk bertanyakan sebab kelewatan kenderaan. Saya dimaklumkan bahawa kenderaan tidak dapat melalui jalan hadapan hotel disebabkan terdapat upacara agama di persimpangan jalan ke hotel. Beliau cuba untuk mendapatkan kenderaan dengan menghubungi teksi blue bird, namun masih tidak juga muncul kenderaan di hadapan hotel.

Jam menghampiri pukul 12.30 tengahari,  Ceria Transport tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan jalan telah ditutup. Beliau tidak sampai hati membiarkan saya berjalan kaki di bawah panas mentari dengan membawa dua buah beg dan dua keping painting untuk mendapatkan teksi di Angel Hotel. Sebagai jalan penyelesaian, beliau mendapatkan bantuan dari seorang pegawai keselamatan hotel untuk membawa saya ke airport dengan bersepeda motor! Haha.. saya terfikir sejenak bagaimana nak angkut dua buah beg,  dua keping painting ditangan dengan menaiki skuter. Tanpa banyak bicara, pengawal keselamatan tersebut meletakkan beg beroda di hadapan (terletak dikaki beliau) dan dua keping painting yang panjang saya memegang sahaja.

Mengawal keseimbangan badan semasa membonceng
skuter sangat penting!
Tanpa memakai helmet, pengawal keselamatan meluncur laju skuter beliau melalui lorong-lorong kecil menuju ke airport. Jalan-jalan utama sekitar Kuta telah ditutup bagi memberi laluan kepada upacara keagamaan yang dijalankan di persimpangan jalan. Saya memuji kecekapan pengawal keselamatan membawa skuter meskipun dalam keadaan terbeban, beliau berjaya mengawal keseimbangan skuter dengan baik. Tidak sampai 15 minit, kami tiba di Lapangan Terbang Ngurah Rai dan saya terpaksa mengheret beg ke terminal antarabangsa dengan jarak yang agak jauh kerana skuter tidak dibenarkan masuk ke kawasan airport. Meskipun pada peringkat awalnya beliau telah menghantar penulis ke terminal domestic kerana menyangka saya hendak balik ke Jakarta!
[saya]                 ..Pak saya mahu balik ke Kuala Lumpur..bukannya Jakarta..
[supir]                  waduh bapak bisa ngomong seperti orang Jakarta ya...
[psaya]              ...iya..bisa ngomong dikit-dikit bahasa indonesia Pak..kiki
Sebagai tanda ucapan terima kasih saya memberi tips kepada beliau sebanyak IDR30.000 kerana kesanggupan beliau membawa  ke airport dalam waktu yang agak terdesak dengan selesa dan selamat.

Ngurah Rai Airport
Memandangkan jadual perjalanan masih lagi lama, saya menghabiskan masa di salah sebuah café di ruang menunggu dengan menyambung tugasan kuliah yang masih belum disiapkan. Kebanyakan café di sini menyediakan workstation khas bagi kemudahan pelancong untuk melayari internet. Saya hanya memesan segelas fresh orange sambil melayari internet bagi menyiapkan tugasan yang masih tertangguh..huhu. Oh ye, untuk perjalanan balik, semua penumpang dikehendaki untuk membayar airport tax berjumlah IDR200.000. Sila pastikan jumlah tersebut diasingkan awal-awal bagi mengelakkan anda stranded di aiport. 

Di Departure Hall, selain terdapat kedai-kedai barangan bebas cukai, pelancong juga dihiburkan dengan persembahan muzik tradisional Bali bagi menyampaikan mesej ucapan terima kasih dan selamat jalan kepada pelancong yang telah melancong di Bali. Saya merasakan mesej yang cuba disampaikan oleh kumpulan pemuzik itu gagal, kerana saya merasakan seperti tidak mahu balik ke Kuala Lumpur pula! hahaha...

Tepat jam 4.15 petang, penerbangan OD305 memulakan perjalanan balik ke Kuala Lumpur. Hingga disini catatan saya bagi pengembaraan selama 5 hari empat malam di Bali. Banyak kenangan dikumpul sepanjang tempoh ini dan yang penting cita-cita saya untuk membuat photoshoot   di Bali tercapai. 

Selamat tinggal Bali dan saya akan kemBali lagi!



Wednesday, 24 December 2014

Trip ke Bali 2014 - Part 4

Entrance Monkey Forest
Hari keempat saya merancang untuk meneruskan lawatan ke Bedugul dan Tanah Lot. Dua destinasi wajib yang perlu dikunjungi terutamanya pada mereka yang berminat dengan subjek natural landscape fotografi. Perjalanan pada hari ini, saya tidak lagi menggunakan perkhidmatan Pak Agues. Saya menggunakan perkhidmatan tour di kaunter sekitar area Tune Hotels dan penulis mendapat tawaran yang agak menarik iaitu IDR500.000 bagi full day tour. Perjalanan bermula jam 8.30 pagi. Dalam perjalanan ke Bedugul, pengunjung akan dibawa untuk melawat beberapa pura penting sebagai sebahagian daripada program lawatan. Walau bagaimanapun, saya tidak tertarik untuk masuk kesemua pura yang ditetapkan dalam jadual perjalanan. Sebagai contoh, lawatan ke Monkey Forest, saya hanya mengambil photo shoot di entrance sahaja.

Pura Ulu Danu Beratan
 Perjalanan pagi ini menempuh trafik yang sesak ekoran waktu ini adalah waktu puncak untuk para karyawan (pekerja) pergi ke kantor (pejabat). Perjalanan ke Bedugul memakan masa selama satu setengah hingga ke dua jam. Bedugul merupakan bahagian yang terletak di Utara Bali diantara Singaraja dan Denpasar. Kawasan ini dikelilingi bukit bukau dan danau yang indah. Sebagaimana di Kintamani, Bedugul juga terletak di kawasan tanah tinggi. Cuaca disini agak dingin dan menerima taburan hujan yang agak tinggi berbanding kawasan lain di Bali. Pelancong akan di bawa ke Pura Ulu Danu Beratan yang terletak di antara danau dan gunung. 


Danau Beratan
Satu pemandangan yang cukup indah dan pura ini menjadi salah satu ikon penting pelancongan Bali. Saya tiba jam 12.00 tengahari dan ketika tiba disini, hujan turun dengan lebatnya dan sedikit sebanyak menyukarkan saya mengambil photoshoot yang menarik. Keadaan di pura juga agak sibuk memandangkan masyarakat Bali sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Hari Raya Kuningan dan Gulingan pada 17 dan 20 Disember nanti.




Masjid di Bedugul bertentangan
dengan Pura Ulu Danu Beratan
Bertentangan dengan Pura Ulu Danu Beratan adalah penempatan masyarakat Muslim. Di sini terletak sebuah masjid di atas bukit bagi kemudahan komuniti Islam setempat mengerjakan kewajipan. Suara azan juga kedengaran dengan jelas sehingga ke kawasan pura. Untuk makan tengahari, saya menjamu selera di salah sebuah restoran Muslim yang terletak bertentangan dengan Pura Ulu Danu Beratan. Bagi hidangan tengahari saya memesan dua set nasi ayam panggang (lalapan style), satu set ikan tilapia masak tauchu dan satu bakso sapi hanya IDR94.000 sahaja. Di restoran ini juga disediakan ruang solat bagi memudahkan pengunjung beragama Islam menunaikan kewajipan..alhamdulillah.

Entrance ke Tanah Lot
Setelah menjamu selera, saya mula bergerak ke Tanah Lot lebih kurang jam 1.30 petang. Perjalanan dari Bedugul ke Tanah Lot memakan masa satu setengah jam sahaja. Semasa perjalanan ke Tanah Lot, saya dibawa singgah ke Pura Taman Ayun yang merupakan antara salah satu pura tertua di Bali. Saya tidak masuk ke kawasan Pura Taman Ayun, cukup sekadar mengambil photoshoot di entrance sahaja. Saya tiba di Tanah Lot sekitar jam 3.00 petang. Untuk masuk ke Tanah Lot, pengunjung dikenakan bayaran IDR20.000 per pax. Tanah Lot adalah salah satu obyek wisata kerana menawarkan lanskap yang sangat menarik. Di Tanah Lot terletak sebuah pura di atas bukit batu di tepi pantai. Pemandangan di sini cukup menggamit penggemar fotografi untuk mengambil beberapa photoshoot terutamanya sewaktu matahari terbenam.

Pesisir pantai Tanah Lot
Terdapat banyak gerai cenderamata didirikan di sini dan kali ini saya tertarik dengan salah satu gerai yang menjual painting dan membeli sekeping painting berbentuk abstrak dengan kos IDR300.000. Sudah menjadi kebiasaan kepada saya untuk mendapatkan painting sekiranya melancong ke luar negara sebagai kenang-kenangan. 




Pura Tanah Lot
Saya tidak banyak menghabiskan masa di Tanah Lot, sekadar menikmati pemandangan indah di sini dan mengambil beberapa photoshoot untuk koleksi peribadi. Memandangkan waktu matahari terbenam masih lagi jauh, saya memutuskan untuk bergerak pulang tanpa menunggu moment matahari terbenam.


Tanah Lot dari sudut berbeza

Sebelum tiba di hotel, saya singgah sebentar di Krishna Mall untuk membeli sedikit cenderamata untuk dibawa balik. Krishna Mall antara salah satu pusat membeli belah yang cukup terkenal di kalangan pelancong kerana menawarkan pelbagai barangan cenderamata dengan harga yang lebih murah. Selain Krishna Mall, Hawaii Ole-ole juga menjadi tumpuan untuk mendapatkan cenderamata. Bagi sesetengah pelancong, aktiviti membeli belah semasa melancong adalah sesuatu yang menyeronokkan dan saat ini sangat dinanti-nantikan oleh mereka, tetapi tidak kepada saya, saat membeli belah adalah aktiviti yang agak “menyeksakan” kerana saya bukan dari golongan yang suka membeli belah!..haha. 

Krishna Mall

Lebih kurang jam 7.30 malam, saya tiba di hotel setelah menghabiskan masa yang "menyeksakan" di Krishna Mall. Setibanya di hotel, selepas menunaikan solat saya terus tertidur akibat kepenatan berjalan hampir sehari suntuk. Makan malam cukup sekadar mee segera yang boleh didapati di mini mart di bawah hotel. Sehingga ke malam yang keempat, saya masih lagi tidak berkesempatan untuk mengunjungi café/pub bagi menikmati live band di sekitar Kuta..huhu. Saya lebih meminati live band berkonsepkan jazz berbanding dengan genre muzik lain yang membingitkan telinga. Terdapat beberapa tempat di sekitar Kuta dan Legian yang menampilkan live band jazz.

Sehingga ini sahaja catatan saya pada hari keempat. Saya berasakan sudah banyak tempat menarik yang perlu dikunjungi oleh pelancong telah saya jejaki. Malam ini saya perlu membuat sedikit persiapan untuk balik ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya.

Itinery perjalanan 11 Disember 2014

8.30   am -  Bertolak ke Bedugul
10.30 am -  Tiba di Monkey Forest
11.30 am -  Tiba di Bedugul, Pura Danau Beratan
                  Lunch
1.30 pm  -  Bertolak ke Tanah Lot
2.30 pm  -  Tiba di Pura Taman Ayun
3.30 pm  -  Tiba di Tanah Lot
5.00 pm  -  Bertolak balik ke Denpasar
6.30 pm  -  Membeli belah di Krishna Mall
7.30 pm  -  Tiba di Hotel

Tips :

Bagi mereka yang gemar membeli belah dan mahir dalam membuat bargain tidak akan menghadapi masalah untuk membeli belah di gerai-gerai cenderamata disekitar kawasan tumpuan pelancong. Tapi bagi merea yang tidak mempunyai kemahiran yang tinggi dalam membuat bargain, membeli belah di Krishna Mall, Hawaii Ole-ole adalah jalan paling selamat kerana harga yang ditawarkan adalah rendah dan mempunyai pelbagai pilihan.

Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia fotografi, sila pastikan anda mempunyai asas dalam membuat setting yang betul keatas DSLR anda bagi mendapatkan hasil yang baik. Rugi sekiranya anda terlepas peluang merakamkan  landscape di Bali kerana keindahan semulajadinya yang cukup mengagumkan.




Thursday, 18 December 2014

Trip ke Bali 2014 - Part 3


Pantai Kuta
Hari ketiga saya tidak mengambil mana-mana tour. Oleh yang demikian, saya mengambil masa untuk berehat disamping menghabiskan masa di Pantai Kuta yang hanya 5 minit berjalan kaki dari Tune Hotel. Selain itu, saya bersiar-siar di sekitar Kuta, Legian dan Seminyak dengan menggunakan skuter yang disewa. Perkhidmatan sewaan skuter mudah didapati disekitar Kuta dengan kadar sewa IDR40.000 – IDR50.000 sehari. Penggunaan skuter sangat praktikal kerana dapat mengatasi kesesakan lalu lintas. Untuk pengetahuan anda, jalan-jalan raya di sini agak kecil dan kadangkala hanya boleh memuatkan sebuah kereta sahaja.

Selain itu, pada hari ini juga saya akan check-out dari Tune Hotel dan menginap di hotel lain di sekitar Legian. Sengaja saya berbuat demikian memandangkan tempoh percutian di Bali masaih lagi panjang. Walau bagaimanapun terdapat insiden yang berlaku dimana bilik yang telah ditempah saya sebelum ini telah dipindahkan ke hotel penginapan lain yang agak jauh sedikit dari kawasan tumpuan pelancong. Alasan yang diberikan oleh pihak hotel bilik yang ditempah oleh saya fully booked dan mereka terpaksa memindahkan saya ke penginapan yang lain. Saya tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pihak hotel dan memutuskan untuk tidak menerima tawaran daripada mereka. Pada masa yang sama saya meminta bayaran yang telah dibuat dikembalikan.

Tanpa membuang masa saya memanggil teksi dan pulang balik ke Tune Hotel untuk check-in  semula. Berbalik kepada hotel yang sepatutnya saya menginap, mereka akhirnya menghubungi saya dan mengakui kesilapan mereka kerana menukarkan tempahan saya disaat akhir tanpa memaklumkan saya terlebih dahulu. Berikutan dengan itu, mereka menghantar wakil untuk berjumpa dengan saya di Tune Hotel untuk meminta maaf serta membayar kembali wang sepenuhnya secara tunai!.

Berdasarkan tindakan yang dibuat oleh pemilik hotel berkenaan, saya dapat merasakan mereka sangat menjaga nama baik hotel mereka. Mereka akur akan kesilapan diri sendiri dan sedaya upaya untuk menyelesaikan dengan cara yang baik bagi memastikan nama baik hotel tidak tercemar.


Sunset di Pantai Kuta
Untuk aktiviti pada hari ini, saya hanya menghabiskan masa pada waktu petang sambil membuat photoshoot matahari terbenam di Pantai Kuta. Pemandangan matahari terbenam di sini sangat indah dan membuatkan saya kagum dengan kebesaranNya.

Sehingga ini sahaja catatan saya pada hari ketiga. Meskipun aktiviti saya pada hari ini agak free and easy, ianya cukup penting kerana kita memerlukan masa untuk berehat seketika semasa melancong bagi mengembalikan tenaga pada keesokkan harinya.

Trip ke Bali 2014 - Part 2

Bali ..pulau seribu pura

Hari kedua saya mengambil full day tour dan charge yang dikenakan adalah sebanyak IDR550.000. Setelah berbincang dengan Pak Agues, saya akur untuk dibawa melawat sekitar Ubud dan sebelum meneruskan perjalanan ke Kintamani. Perjalanan bermula jam 8.30 pagi terus menuju ke Ubud. Perjalanan dari Kuta ke Ubud mengambil masa hampir sejam. Ubud merupakan bahagian penting di Bali kerana menempatkan aktiviti-aktiviti seni masyarakat Bali. Sebelum sampai di Ubud, pelancong kebiasaannya akan dibawa untuk menyaksikan tarian barong, walau bagaimanapun saya menolak untuk menyaksikan tarian ini kerana ianya juga dipersembahkan di Malaysia oleh masyarakat Jawa terutamanya di Johor. Di Ubud pelancong akan dibawa ke perusahaan yang menjalankan aktiviti seni dan ukiran seperti membuat batik, ukiran perak dan emas, lukisan dan ukiran kayu.

Aktiviti merekabentuk corak batik

Secara jujurnya saya tidaklah berminat untuk melihat aktiviti-aktivti tersebut kerana ianya juga boleh didapati di Malaysia. Tetapi memandangkan kami mempunyai kelapangan masa yang panjang, Pak Agues memujuk untuk membawa saya ke tempat-tempat diatas. Nak buat bagaimana, ikut sahajalah. Tempat pertama yang dilawati adalah perusahaan membuat batik. Penggunaan tekstil yang menggunakan corak batik di Indonesia tidak dapat dipisahkan dari kehidupan seharian penduduk disana. Malahan batik Indonesia juga terkenal di Malaysia. Cuma yang membezakan corak batik di Bali berbanding bahagian-bahagian lain di Indonesia ialah mereka banyak menerapkan unsur flora dengan gabungan lebih dari dua warna. Dari segi proses dan pembuatannya adalah sama dengan apa yang dilakukan di Malaysia.


Salah satu hasil rekaan berasaskan perak

Lawatan diteruskan ke perusahaan ukiran bahan berasaskan perak dan emas. Disini pengunjung akan ditunjukkan kemahiran yang ada pada masyarakat Bali dalam membuat ukiran daripada bahan berasaskan emas dan perak. Pelawat akan ditunjukkan bagaimana proses ukiran perak dibuat dengan menerapkan unsur-unsur tempatan dalam rekaan mereka. Ukiran perak ini dijadikan barang perhiasan diri untuk wanita, perhiasan untuk dekorasi rumah dan pejabat. Mengukir perak memerlukan tahap kesabaran dan  ketelitian yang sangat tinggi terutamanya apabila ianya melibatkan ukiran yang sangat rumit.




Seterusnya saya dibawa ke galeri lukisan. Kebanyakan karya lukisan disini menggambarkan refleksi mereka terhadap kepercayaan kepada Hindu serta aktiviti masyarakat Bali. Hasil lukisan bertemakan abstrak sangat jarang ditemukan disini dan sekiranya ada kosnya pula agak tinggi. Dari galeri lukisan, kami bergerak ke perusahaan ukiran kayu. Sebagaimana sebelum ini, ukiran-ukiran kayu berbentuk dewa, haiwan sebenarnya menggambarkan akan pegangan kuat mereka terhadap agama Hindu. Ukiran kayu mereka sangat teliti dan halus. Jarang pelancong ditemukan dengan pengukir-pengukir kayu yang hebat ditempat lain dan mereka ini mempunyai kemahiran mengukir yang tinggi.


Buffet lunch di Kintamani

Perjalanan diteruskan ke Kintamani. Apa yang menariknya di Kintamani ialah pelancong dapat melihat pemandangan bekas gunung berapi yang dikatakan masih aktif. Bayaran masuk sebanyak IDR20.000 dikenakan bagi setiap pelancong ke sini. Kebiasaannya pelancong akan makan tengahari di beberapa buah restoran di sini  dengan pemandangan yang berlatarbelakangkan Gunung Batur. Makanan yang disediakan di sini adalah halal dan pelancong mempunyai pilihan samada mengambil makanan buffet ataupun ala carte. Hidangan buffet yang disediakan banyak pilihan dan dari segi rasa ianya tidak banyak bezanya di Malaysia. Kemudahan musollah turut disediakan untuk pengunjung beragama islam menunaikan solat. Walaubagaimanapun, musollah yang disediakan agak kecil dan terpaksa dikongsi antara lelaki dan wanita. Keadaan ini menyulitkan bagi kaum wanita untuk menunaikan solat. Selain itu, cuaca disini agak dingin memandangkan Kintamani adalah kawasan tanah tinggi. Tidak banyak aktiviti boleh dibuat disini, selain makan tengahari, pelancong hanya mengambil gambar berlatarbelakangkan Gunung Batur.

Teh dan kopi pelbagai perisa secara percuma

Sebaik sahaja selesai membuat photo shoot di Kintamani, kami bergerak turun untuk melawat sebuah agrowisata yang mengusahakan proses pembuatan kopi luwak. Kopi luwak hanya boleh didapati di Indonesia sahaja dengan kaedah pembuatannya yang cukup unik. Di sini pengunjung akan didedahkan bagaimana biji kopi yang sudah cukup matang ditaburkan di dalam hutan bagi memberi peluang luwak ataupun musang memakan biji kopi tersebut. Dikatakan bahawa musang mempunyai citarasa yang tinggi terhadap biji kopi dan hanya memilih biji kopi yang terbaik untuk dimakan yang kemudiannya dikeluarkan melalui sistem perkumbuhan haiwan tersebut. Biji kopi yang keluar bersama najisnya kemudiannya dikutip dan dibersihkan sebelum ianya diproses sebagaimana biji-biji kopi yang lain. Dari sudut kebersihan dan status halal telah diperakukan halal oleh Majlis Ulama` Indonesia iaitu sebuah agensi awam yang bertanggungjawab penuh untuk memantau proses halal bagi produk makanan.

Menghabiskan masa berbual bersama Fandi

Pengunjung akan dihidangkan dengan pelbagai jenis teh dan kopi yang dipelbagaikan citarasanya secara percuma. Manakala untuk mencuba secawan kopi luwak, bayaran sebanyak IDR50.000 dikenakan. Di sini saya ditemani oleh Fandi seorang anak muda yang cukup bersemangat menerangkan proses pembuatan kopi luwak. Agak lama juga saya menghabiskan masa disini dan bersembang dengan Fandi yang peramah. Saya juga sempat mengajar Fandi tentang beberapa perkara mengenai orang Malaysia. Lepas ni mas Fandi, kamu nggak bisa memanggil orang Malaysia dengan panggilan bapak/ibu ya…hahah. Selain itu, penulis tertarik dengan konsep agrowisata yang dibangunkan disini. Gabungan senireka lanskap didalam dusun sangat menarik perhatian. 

Selepas lawatan di agrowisata, saya meneruskan perjalanan pulang ke hotel. Perjalanan hari ini agak memenatkan kerana mengambil tempoh masa perjalanan yang panjang dan dan keadaan jalan yang agak teruk. Setakat ini sahaja untuk catatan perjalanan saya pada hari kedua dan bersambung pada bahagian yang seterusnya.

Itinery hari kedua 9 Disember 2014

7.00 am - Jogging di Pantai Kuta

8.30 am - Bertolak ke Ubud
               Lawatan ke perusahaan membuat batik
               Lawatan ke perusahaan ukiran emas dan perak
               Lawatan ke galeri lukisan
               Lawatan ke perusahaan ukiran kayu

12.30pm- Tiba di Kintamani
               Lunch
               Solat

2.30 pm - Lawatan agrowisata pembuatan kopi luwak

4.30 pm - Lawatan ke Temple Ayu

5.30 pm - Balik ke Hotel

Tips : 

Meskipun dalam mood percutian, kecergasan fizikal perlu dititikberatkan. Hal ini perlu diberi perhatian kerana kita banyak menggunakan tenaga bagi sesi lawatan ke sesuatu tempat. Kesempatan berada d Bali, rugi sekiranya anda tidak melakukan aktiviti fizikal seperti berjogging di tepi pantai kerana udaranya yang segar dan baik untuk kecergasan.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, sila ambil perhatian terhadap pengambilan serat dan banyak minum air kosong. Pola pemakanan anda juga akan mengalami perubahan berikutan kita disajikan dengan kepelbagaian makanan tempatan dan kebarangkalian pengambilan makanan kita berlebihan adalah tinggi. Sepanjang perjalanan ke Kintamanai, pengunjung akan melalui ladang buah-buahan temapatan yang diusahakan penduduk kampung. Hasil daripada ladang ini dijual terus di gerai-gerai di tepi jalan. Berhentilah untuk membeli buah-buahan tempatan ini dengan harga yang berpatutan dan berkhasiat.



Saturday, 13 December 2014

Trip ke Bali 2014 - Part 1

Malindo Air

Alhamdulillah, sebagaimana yang dirancang akhirnya aku tiba di Bali tanggal 8 Disember 2014 dengan menggunakan penerbangan Malindo Air OD306. Pertama kali menggunakan perkhidmatan Malindo Air ternyata memberi keselesaan  dengan ruang tempat duduk yang lebih luas terasa selesa terutamanya untuk perjalanan yang memakan masa selama 3 jam. 

Nampak gayanya, selepas ini aku akan lebih kerap menggunakan Malindo Air untuk perjalanan yang memakan masa melebihi dua jam. Kos penerbangan pergi dan balik sebanyak RM344 termasuk  kos untuk tax, surcharge dan bagasi seberat 20 kg. Snack disediakan secara percuma dalam penerbangan dan penumpang boleh membeli makanan dan minuman lain didalam penerbangan sekiranya terasa lapar.

Wakil tour agent/hotel bersama signboard tertulis nama pelancong

Untuk makluman, sebelum ke Bali aku telah menghubungi tour agent Ceria Transport di Tune Hotel untuk mengambil di airport pada tarikh dan waktu yang ditetapkan. Bagi perjalanan untuk dua hari pertama, Pak Agues diberi tanggungjawab untuk membawa saya ke beberapa tempat menarik  Bali.

Rata-rata pemandu di Bali ini boleh dipercayai, peramah dan jujur. Mereka sangat membantu apabila terdapat keperluan lain yang tidak termasuk dalam itinery perjalanan. Aku sendiri tidak terikat dengan itinery yang disediakan oleh Pak Agues, terpulang kepada aku untuk menentukan tempat mana yang hendak dilawati bersesuaian dengan tempoh tour yang kita pilih.


Tune Hotel Kuta, tiada ruang untuk parkir 
kenderaan kecuali motosikal


Sepatutnya aku terus ke hotel untuk check-in sebelum memulakan lawatan ke Uluwatu, memandangkan perut terasa lapar, aku meminta dibawa ke Restoran Ayam Lunak Malioboro untuk lunch. Restoran ini adalah antara salah satu restoran yang cukup terkenal di Indonesia. Menu utama disini  berasaskan ayam yang dimasak dengan pelbagai cara dan apa yang pasti, tulangnya sangat lembut dan boleh dimakan. Ketika berada di restoran ini banyak tour group baru tiba untuk makan tengahari.


Statue Plaza Garuda di GWK

Selepas check-in, aku mula bergerak ke destinasi pertama iaitu Garuda Wishnu Kencana (GWK). GWK menempatkan beberapa statue utama iaitu statue Plaza Garuda dan Dewa Wishnu di atas bukit bagi menggambarkan sebahagian adat dan kepercayaan spiritual penduduk Bali. Hampir 80% penduduk Bali adalah beragama hindu meskipun Indonesia adalah mempunyai penduduk beragama Islam teramai di dunia. 

Salah satu taman di GWK

Selain dua statue ini, pelancong juga boleh menyaksikan persembahan tradisional Bali pada waktu yang ditetapkan di ruang amphitheatre. Pada masa akan datang, pelancong boleh menyaksikan sebuah ukiran batu di dinding bukit GWK yang menceritakan mitos kepercayaan mereka. Buat masa ini ukiran tersebut masih lagi dilaksanakan oleh pengukir Bali yang diiktiraf antara yang terbaik di Indonesia.



Pura Uluwatu


Pemandangan indah di Uluwatu



Selepas menghabiskan masa kira-kira 40 minit di sini, aku terus bergerak ke Uluwatu. Uluwatu adalah tarikan obyek wisata (tarikan pelancong) di kawasan yang paling hujung di selatan Bali. 

Untuk masuk ke Uluwatu, bayaran sebanyak IDR20.000 dikenakan dan bagi pelancong yang memakai seluar/skirt pendek dikehendaki memakai sarong berwarna ungu dan diikat dengan lilitan kain berwarna kuning, manakala pelancong yang memakai pakaian yang sopan cukup memadai mengenakan lilitan kain kuning dipinggang. Syarat ini dikenakan sebagai menghormati kawasan temple di sini.


Sebahagian penonton yang menyaksikan tarian kechak


Pembukaan tarian kechak "...kechak...kechak...kechak"


Salah satu babak penting dalam tarian kechak

Setiap jam 6.00 petang, pelancong boleh menyaksikan persembahan tarian kechak yang diadakan di ruang khas berlatarbelakangkan matahari terbenam di Uluwatu. Bagi menyaksikan tarian kechak, bayaran sebanyak IDR100.000 dikenakan. 

Tarian kechak tidak menggunakan sebarang instrumen muzik sebagai muzik iringan. Mereka menggunakan sepenuhnya kekuatan kombinasi suara berkumpulan untuk membentuk satu gabungan suara harmoni yang sangat unik. Penari ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan setiap kumpulan mengalunkan rima/bunyi yang berbeza dengan kumpulan lain.


Sunset di Uluwatu

Persembahan ini diketuai oleh seorang komando, dan dibantu oleh beberapa peranan penting seperti ketua muzik, persembahan tarian kechak ini ternyata memukau penonton. Dengan bunyi kechak..kechak..kechak..pelancong dihiburkan dengan persembahan yang menggabungkan elemen muzik, tarian dan drama yang berlatarbelakangkan matahari terbenam di atas bukit di tepian laut! 


Penutup tarian kechak


Sepanjang perjalanan pada hari pertama, Pak Agues banyak bercerita tentang sikap dan kepercayaan masyarakat Bali. Masyarakat Bali sangat kuat berpegang kepada kepercayaan mereka yang seterusnya membentuk sikap dan jatidiri. Mereka percaya kepada konsep karma atau balasan ke atas setiap perbuatan mereka. Meskipun Bali tidak-putus-putus dikunjungi oleh pelancong dari luar negara, namun mereka tetap patuh melaksanakan tanggungjawab agama mereka dan budaya ini menjadi sebahagian daripada produk pelancongan yang hidup di Bali. 

Cukup catatan perjalanan pada hari pertama setakat ini. Untuk keesokan harinya saya merancang untuk melawat Kintamani dan beberapa lagi kawasan tumpuan pelancong yang wajib dilawati.

Itineri perjalanan pada hari pertama 8 Disember 2014 :

7.20am         -        Bertolak dari rumah ke Putrajaya Central dan parking kereta di sana.
                             (bayaran parking bagi 5 hari RM18.00)
9.20am         -        Bertolak dari KLIA2 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai 
                             Denpasar.
12.20 tghari  -       Tiba di Lapangan Terbang Ngurah Rai Denpasar.
1.15 pm        -        Lunch di Restoran Ayam Lunak Malioboro.
1.45 pm        -        Daftar masuk Tune Hotels, Kuta.
2.30 pm        -        Bergerak ke Garuda Wishnu Kencana (GWK) (tiket masuk IDR100.000)
3.30 pm        -        Bertolak ke Uluwatu (tiket masuk IDR20.000)
6.00 pm        -        Menyaksikan tarian Kechak di Uluwatu (tiket IDR100.000)
7.00 pm        -        Bertolak balik ke Hotel.

- Bagi half day tour saya dikenakan bayaran sebanyak IDR400.000 (pemandu, kereta dan petrol). Kadar ini adalah agak tinggi dari kebiasaannya dan tour agent menggunakan alasan kenaikan harga gasoline di Indonesia menyebabkan kos tour turut menerima kesan kenaikan.

Tips :

          Pelancong tidak perlu mempelawa pemandu atau tour guide untuk makan bersama meskipun kita membelanja mereka. Sebenarnya mereka telah disediakan makanan di tempat tumpuan pelancong dan mereka juga diberikan komisen kerana membawa pelancong ke tempat mereka. Perkara ini perlu dihighlight kerana saya terserempak dengan satu kumpulan pelancong dari Malaysia bersungguh-sungguh mempelawa pemandu atau tour guide  untuk makan bersama.

      Untuk pertukaran wang asing, elok ditukar siap-siap terlebih dahulu di Malaysia. Pengalaman penulis menukar wang di Bali tidak sangat menguntungkan. Anda juga perlu rajin membuat survey untuk mendapatkan kadar pertukaran wang yang menguntungkan dan tidak digalakkan menukar wang di Lapangan Terbang kerana kadar yang tinggi. Semasa saya menukar RM kepada IDR di Malaysia, saya dapat tawaran terbaik iaitu RM277 untuk IDR1.000.000.

   Sila ambil perhatian keperluan komunikasi. Sila aktifkan fungsi perantauan antarabangsa dengan mengunjungi wakil telco anda di Malaysia. Kadar yang dikenakan agak tinggi berbanding biasa memang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, saya suka menyarankan supaya anda membeli simkad di Bali dan boleh membuat panggilan ke Malaysia dengan kadar yang lebih murah.

         Hormati adat dan kepercayaan masyarakat di sana. Di Bali, patung-patung Budhha dan Hindu mudah kelihatan bukan sahaja di pura, bahkan di kesemua tempat samada di persimpangan jalan, bulatan jalan raya, rumah kediaman, kedai termasuk juga hotel dan kemudahan awam yang lain. Tindak tanduk pelancong menghina atau mentertawakan patung-patung tersebut dikhuatiri mendatangkan 'gangguan' kepada anda kerana mengikut kepercayaan masyarakat Bali patung-patung ini mempunyai roh/spirit tertentu. Sebagai muslim, anggaplah patung-patung tersebut sebagai sebahagian daripada kepelbagaian anutan agama dan kepercayaan masyarakat di sini.