Tuesday 24 March 2015

Langkawi-Payar Marine Park Part 2 (5-6 Mac 2015)

Hari kedua, usai menunaikan solat subuh, saya mengambil kunci skuter dan terus mencari gerai yang menjual sarapan pagi. Di sekitar Pantai Tengah dan Pantai Cenang, tidak ada gerai yang menjual sarapan pagi, kebiasaannya saya akan menuju ke Kedawang untuk mendapatkan sarapan pagi.  Terdapat sebuah gerai menjual menu sarapan pagi dengan pelbagai jenis nasi lemak, mee, kuih muih tempatan yang memberi kelainan sarapan pagi anda. Seawal subuh gerai ini telah dibuka dan menjadi tumpuan penduduk tempatan termasuk para pekerja hotel/resort membeli sarapan di gerai ini.

Seperti mana yang dijanjikan, tepat jam 8.00 pagi, kenderaan yang dinanti datang untuk mengambil pengunjung yang telah mengambil pakej island hopping. Kami dikumpulkan di Jeti Kuah dan dipakaikan bristband serta di edar tiket feri dan kupon makanan. Perjalanan memakan masa selama satu jam. Sepanjang perjalanan tidak banyak perkara yang boleh dibuat selain tidur ataupun berangan..hahaha.


Kami tiba di Payar Marine Park sekitar jam 10.30 pagi, feri akan berlabuh tidak jauh dari pantai dan sebuah bot yang lebih kecil akan mengambil pengunjung untuk dibawa ke pontoon Pulau Payar. Setibanya di Pulau Payar, wakil marine park akan memberi briefing do`s and don’t mengenai lokasi ini. 







Tanpa membuang masa, saya terus ke pantai untuk berenang dan snorkeling. Dengan air yang jernih, pengunjung dapat melihat hidupan marin dengan jelas di sini. Jika berpeluang, anda boleh berenang bersama-sama baby shark yang terdapat di sini. Bagi mereka yang tidak berminat untuk snorkeling, memadai dengan memberi makan kepada ikan-ikan di sini. Jam 12 tengah hari lunch pack disediakan dan pengunjung boleh kembali ke khemah yang ditetapkan untuk lunch. Sebenarnya tidak banyak aktiviti yang boleh dijalankan, hanya sekadar berenang, snorkeling dan diving (bagi mereka yang mengambil pakej diving).



Di sini disediakan tandas dan bilik air bagi kemudahan pengunjung untuk mandi dan membersihkan diri. Walau bagaimanapun, air yang disediakan adalah air laut. Cukuplah sekadar untuk anda membersihkan diri seadanya. Takde lah nak bermandi bagai untuk bersihkan diri. Memandangkan masa masih lagi panjang, saya mengambil peluang berjalan di sepanjang platform untuk mengambil beberapa photoshoot. Tepat jam 2.30 petang kami diminta untuk berkumpul semula di jeti sebelum bertolak balik ke Langkawi.





Terus terang saya katakan, meskipun Payar Marine Park menawarkan keindahan pantai semula jadi dengan kehidupan marin yang menarik, tetapi ianya tidak sehebat pengalaman saya semasa ke Krabi pada  Januari yang lepas. Dengan bayaran pakej sebanyak RM120, saya berpendapat kos ini tidak berbaloi dengan pakej yang ditawarkan, berbanding dengan pakej yang saya sertai di Krabi. Tumpuan aktiviti hanya di Payar marine sahaja, anda tidak akan dibawa ke mana-mana destinasi lain. 



Untuk hari ketiga, pagi-pagi lagi saya telah keluar ke pekan Kuah. Tiada apa-apa tujuan sebenarnya, saja untuk makan nasi kandar di Restoran Hj Ali yang terletak di pekan Kuah. Dari dulu lagi saya sudah biasa makan sarapan pagi dengan hidangan yang agak berat di restoran ini. Selepas bersarapan saya teruskan perjalanan ke hotel-hotel baru dibuka yang belum sempat saya menginap seperti Dayang Bay Service Apartment. 


Hotel ini baru dibuka pada penghujung tahun 2013 dan kedudukan menghadap laut sangat menarik untuk menjadi penginapan saya sekiranya ke Langkawi lagi pada masa hadapan.


Okeylah tiba bab penutup pula, Saya akui Langkawi adalah destinasi pelancongan terbaik di Malaysia setakat ini. Pelbagai tarikan yang ditawarkan di sini dan sesuai untuk seisi keluarga. Dari keindahan pantainya, Underwater World, Langkawi Cable Car, island hopping, shopping, makanan yang enak dan pelbagai, keberadaan di sini anda tidak akan berasa bosan. 

Langkawi membangun dengan pesat sebagai lokasi pelancongan yang bertaraf antarabangsa. Seingat saya 10 tahun lepas terdapat pesawat MAS melakukan penerbangan terus dari Heathrow London ke Langkawi bagi memudahkan pelancong dari Eropah ke Langkawi!. Bukan itu sahaja, banyak acara peringkat antarabangsa sering diadakan di sini seperti LIMA dan Dialog Selatan-selatan saban tahun. 

Diharapkan pembangunan pesat pelancongan di sini dapat membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di sini yang rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu dan banyak bergantung kepada aktiviti pelancongan dan pertanian sebagai sumber ekonomi utama mereka. Saya akui, sehingga kini saya tidak pernah jemu ke Langkawi!

Tips :

Sila bawa bekalan air mineral yang secukupnya. Air mineral bukan sahaja untuk menghilangkan dahaga, tetapi juga untuk membersihkan badan anda selepas seharian melakukan aktiviti air di Payar Marine Park. Tiada bekalan air bersih di sini, dan pihak Jabatan Laut hanya menyediakan air laut untuk membersihkan diri anda.

Bawa juga bekalan roti putih sebanyak mungkin untuk diberi makan kepada ikan di Payar Marine Park. Rugi sekiranya anda tidak merasai pengalaman memberi makan kepada ikan sambil membelai ikan di sini dan jika anda bernasib baik anda boleh beri makan kepada baby shark.

Untuk rakaman video di dalam air, sekiranya anda berkemampuan, belilah ProGo Hero 4 [latest version]. Berdasarkan pembacaan saya, rakaman video dengan camera ini sangat terbaik terutamanya semasa melakukan aktiviti outdoors dan menyelam!.

No comments:

Post a Comment