Tuesday 24 March 2015

Langkawi-Payar Marine Park Part 1 (4 Mac 2015)

Welcome to Langkawi!


Kali ini destinasi saya ke Pulau Langkawi dan bukanlah satu destinasi yang asing kerana saya telah menganggapnya sebagai rumah kedua . Sebelum ini saya kerap ke Langkawi sama ada atas tujuan rasmi ataupun bercuti. Sering kali berulang alik ke Langkawi menjadikan saya agak mahir dengan selok belok jalan raya di sini, tempat-tempat makan yang menarik serta tempat tumpuan pelancong. Begitu juga halnya bila terdapat saudara mara atau rakan-rakan yang ingin berkunjung ke Langkawi, mereka selalu merujuk kepada saya tentang itinerary perjalanan mengikut kesesuaian masa dan bajet mereka..[dah macam travel agent].Selain kedua-dua tempat di atas, cable car di Oriental Village dan Underwater World kawasan sekitar Pantai Cenang juga menjadi pilihan.

Perjalanan kali ini saya menggunakan penerbangan AirAsia. Dengan harga tiket berjumlah RM90.00 (return ticket) ianya sangat berbaloi. Sebaik sahaja tiba di Langkawi Airport, saya terus ke kaunter travel agent untuk menyewa kenderaan sepanjang berada di Langkawi. Sebaik sahaja mendapat kunci skuter, tanpa membuang masa saya meluncur laju ke lokasi yang menempatkan gerai menjual laksa dan cendol yang terletak berhampiran di airport


sebahagian blok penginapan di Federal Villa


Bagi penginapan, saya menempah di Federal Villa iaitu salah sebuah rumah peranginan untuk penjawat awam  di bawah pengurusan Bhg Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri, sementara Holiday Villa pula diberi tanggungjawab untuk menyelenggara kemudahan rumah peranginan di sini. Tempahan perlu dibuat melalui laman web http://peranginan.bph.gov.my manakala bayaran pula hendaklah di bank-in terus ke akaun Holiday Villa. Sila fakskan slip bayaran kepada Holiday Villa untuk pengesahan. Kadar penginapan saya bagi 3 hari 2 malam adalah sebanyak RM132.00 sahaja. Dengan fasiliti yang disediakan, kadar tersebut sangat berbaloi jika dibandingkan dengan kadar purata hotel bertaraf 4 bintang di sekitar Pantai Tengah dan Pantai Cenang!.

Oh ye, segala kemudahan yang terdapat di Holiday Villa boleh digunakan bagi mereka yang menginap di Federal Villa. Untuk pengetahuan anda, Federal Villa terletak di Pantai Tengah atau bersebelahan dengan Holiday Villa Resort, perjalanan dari airport ke sini hanya mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja. Urusan daftar masuk berjalan lancar memandangkan hari tersebut bukanlah hari cuti umum. Penginapan saya tidak termasuk dengan sarapan pagi, dan saya tidak berminat untuk mengambil sarapan pagi di hotel. Apa kelas pi travel breakfast di hotel, saya lebih prefer untuk bersarapan cara orang tempatan menikmati sarapan pagi!.


jalan menuju ke Pantai Tengah di Federal Villa

Sebahagian kawasan Federal Villa
Pantai di Federal Villa

Selesai daftar masuk dan meletakkan barang, saya terus menuju ke Pantai Cenang untuk mendapatkan pakej ke Pulau Payar. Berdasarkan kepada carian saya di travelog sebelum ini, harga bagi pakej ke Pulau Payar sekitar RM85-RM100.00 per pax.  Tetapi setelah bertanyakan ke beberapa travel agent, mereka tidak dapat menawarkan kadar tersebut atas alasan berlaku kenaikan harga diesel dan beberapa perkara lagi. Paling murah tawaran yang saya dapat berjumlah RM120.00…[agak tinggi juga bagi low seson begini sebenarnya]. Pakej ini termasuk pengangkutan dari penginapan ke Jeti Kuah (return), feri (return), lunch pack dan snorkeling gear.


Jalan masuk ke restoran nelayan

Menjelang malam, saya meneruskan perjalanan ke satu lokasi wajib untuk saya menikmati makan malam iaitu Restoran Nelayan yang terletak di Bukit Malut. Dari dahulu lagi [tidak pernah gagal], sekiranya saya ke Langkawi, restoran ini menjadi pilihan bagi saya untuk menikmati makanan laut segar dengan bergaya!. Pilihan makanan laut yang segar sama ada dibakar atau dimasak dengan cara ala kampung..apalagi yang saya mahukan…semuanya ada di sini!. Meskipun terpaksa menunggu sedikit lama, tetapi apabila makanan terhidang di atas meja, rasa penat menunggu hilang serta merta…untuk menu kali ini saya memilih ikan loban dimasak gulai berserta telur dadar. Sebelum ini saya kerap memesan ikan bakar dan ikan yang dimasak dengan cara Thai iaitu kem som, tetapi kali ini saya ingin menukar selera pula dan ternyata ianya tidak mengecewakan.


Inilah tempatnya

Jeti bersebelahan restoran nelayan

Setelah kekenyangan saya bergerak semula ke Pantai Cenang. Pada waktu malam terasa hangatnya kemeriahan pantai cenang dengan kehadiran pelancong asing mengisi waktu malam di sini. Berbeza 10 tahun yang lalu, Pantai Cenang pada hari ini sangat berubah, terdapat banyak gerai didirikan sepanjang jalan selain restoran bertaraf antarabangsa bagi memenuhi keperluan pelancong asing. Saya hanya berjalan kaki sepanjang jalan sambil memerhatikan gelagat pelancong di sini.


Tips :


1.      Bermula Januari hingga April, kebiasaannya Langkawi akan mengalami cuaca yang sangat panas. Kepanasan cuaca sangat terasa lebih-lebih lagi Langkawi dikelilingi oleh lautan. Untuk itu, sila pastikan anda membawa bekalan air yang mencukupi sepanjang perjalanan kerana anda akan terasa cepat dahaga. Manakala pakaian pula, cukuplah memakai pakaian yang longgar dan nipis sahaja. Cap dengan pelbagai fesyen juga banyak dijual untuk melindungi kepala anda dari cuaca panas.


 2.      Perjalanan di Langkawi memerlukan kita  menyewa kenderaan yang dipandu sendiri. Usah risau, sama ada anda tiba di airport atau di Jeti Kuah, terdapat wakil travel agent yang menawarkan kenderaan untuk disewa dengan kadar yang berpatutan mengikut jenis kenderaan. Sila ambil peringatan, kadar sewaan agak tinggi semasa cuti umum atau cuti sekolah. Bagi pelancong asing, mereka lebih menggemari menyewa skuter yang boleh didapati dengan mudah di kawasan tumpuan pelancong seperti Pantai Cenang.


 3.      Bagi memastikan perjalanan anda di Langkawi berjalan lancar, sila buat sedikit homework untuk melihat destinasi mana yang hendak dilawati dan susun perjalanan anda. Sila ambil maklum terdapat bayaran dikenakan kepada pengunjung yang ingin melawat sesuatu lokasi seperti cable car, kompleks makam Mahsuri dan Underwater World. Selain itu, sesetengah lokasi tumpuan pelancong agak jauh antara satu sama lain. Oleh yang demikian, anda kena bijak merancang bagi memastikan masa percutian anda dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan baik. Oh ye, bagi penjawat awam, anda boleh mendapatkan harga diskaun sekiranya membeli tiket untuk masuk ke Underwater World dengan syarat anda membawa kad pengenalan diri (ID) di tempat kerja anda.


 4.      Sila rancang juga aktiviti shopping anda dengan berhemah. Sebagai sebuah pulau yang bebas cukai, barangan seperti coklat, pakaian, peralatan dapur (termasuk pinggan mangkuk), rokok dan minuman beralkohol sangat murah di sini, anda mudah terleka dan terpedaya. Sudah menjadi kebiasaan apabila mendengar keluhan pengunjung apabila menyedari mereka tidak punyai cukup beg untuk mengisi hasil belian mereka…hahaha. Jangan risau, beg-beg beroda pelbagai saiz banyak dijual dengan harga yang murah bagi menyelesaikan masalah anda!..


 5.      Untuk makan dan minum, langsung tiada masalah. Terdapat banyak restoran, gerai jalanan, food court menjadi pilihan anda dari local food hinggalah international food. Kebanyakan restoran dan gerai makanan diusahakan oleh penduduk tempatan sebagai sumber pendapatan mereka. Maka sewajarnya lah kita membantu mereka meningkat hasil jualan dengan makan di gerai/restoran mereka!. 

No comments:

Post a Comment