Tuesday 29 April 2014

Trip ke Kundasang Part 3

Selepas menghabiskan masa Desa Dairy Farm saya mula bergerak ke J Residence untuk pendaftaran masuk. J Residence  terletak tidak jauh daripada Kinabalu Park kira-kira 300 meter sahaja dan lokasi penginapan ini seringkali menjadi pilihan kepada pelancong yang ingin mendaki Gunung Kinabalu.


Tempahan dibuat secara online dua (2) bulan lebih awal dari tarikh daftar masuk. Berdasarkan kepada review yang telah dibuat oleh pengunjung sebelum ini, saya merasakan ini tempat yang sesuai untuk  bermalam di Kundasang. Kadar yang dikenakan sebanyak RM88.00 per/night. Walaupun Jumaat tersebut dianggap sebagai cuti umum, saya dapat rate weekdays. Semasa tempahan dibuat hanya terdapat dua unit sahaja yang belum ditempah. aikk...cepatnya penuh tempahan bilik di sini!.

Saya mengambil maklum akan jalan masuk yang dikatakan sangat curam. Ye..sangat curam. Tapi jalan dalam keadaan baik dan tidak licin (walaupun hujan ketika itu). Sampai di kaunter saya terus kemukakan surat pengesahan tempahan yang telah dibuat. Tanpa banyak cakap, petugas kaunter terus memberi kunci bilik, tanpa meminta dokumen pengenalan diri!..tak sampai  20 saat selesai urusan daftar masuk...hahaha..cekap staff disini bah. Saya membuat tempahan bilik 2A dimana bilik ini juga disediakan kemudahan dapur, meja makan dan kerusi rehat (semua fasiliti ini terletak dibalkoni bilik). Bagi anda yang datang dalam bilangan yang besar, boleh juga menginap di unit Villa yang boleh menempatkan 6 orang pelawat. 

Setelah mendapat kunci..saya pun berjalan disekeliling J Residence...menikmati keindahan alam yang dikelilingi hutan dan pemandangan gunung ganang yang indah..sambil menghirup udara nyaman ...arghhh..(barangan lagi kao ye bahhh)..hehehe. Moment yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika jam 7.30  petang dimana kawasan penginapan diselubungi kabus tebal dan jarak penglihatan yang terhad. Saya terasa pergerakan kabus tersebut di ruang beranda bilik penginapan. 

Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan oleh J Residence. Kawasan persekitaran dan bilik penginapan adalah bersih, kemudahan wi-fi yang stabil, tekanan air juga ok. Penginapan di sini tidak menyediakan sarapan pagi, oleh itu pengunjung disaran untuk membawa bekalan sendiri atau mencari makanan di luar. 

Memang dari awal lagi saya menetapkan untuk mencari penginapan yang menawarkan sesuatu yang berbeza dari penginapan yang pernah saya bermalam sebelum ini. Perbezaan nyata yang ditawarkan oleh J Residence ialah lokasi penginapan  terletak di kaki bukit yang berlatarbelakangkan gunung ganang dan alam semulajadi yang terpelihara. Kepada sesiapa yang ingin merasakan kelainannya, maka J Residence adalah tempatnya!. 

Bagi anda yang berminat untuk menginap di J Residence, anda boleh melayari laman web J Residence di 
www.jresidence.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut. Oh ye, untuk makluman, tempahan hanya boleh dibuat secara atas talian sahaja dan sekiranya ada pertanyaan atau kesulitan, anda boleh emel kepada J Residence dan feedback yang diberikan oleh J Residence sangat cepat dan efisien!

Friday 25 April 2014

Trip ke Kundasang Part 2

Bersambung dari siri 1 sebelum ini. Setibanya di Kundasang kami mencari signboard menuju ke Desa Dairy Farm. Walau bagaimanapun, satu signboard pun tidak ditemui bagi menunjukkan arah ke kawasan berkenaan. Kami berhenti dan bertanyakan kepada seorang penjual di tepi jalan. Orait..dah dapat clue, dari roundabout pekan Kundasang, saya mengambil jalan menuju ke bawah bukit, selepas jambatan pertama saya dimaklumkan supaya belok kiri dan akan menemui signboard Desa Dairy Farm!.


Perjalanan ke Desa Dairy Faram ditemani dengan awan mendung!

Perjalanan ke Desa Dairy Farm agak teruk, dengan jalan yang kecil, berlubang dan mendaki bukit. Ditambah pula dengan keadaan jalan yang licin akibat hujan sepanjang perjalanan, membuatkan saya memandu dengan berhati-hati. Nasib baik kereta yang disewa masih baru dan dalam keadaan baik. Saya perhatikan terdapat kereta Viva yang tidak dapat meneruskan perjalanan disebabkan tidak berupaya mendaki bukit yang agak curam.

Akhirnya lebih kurang jam 2.30 petang kami tiba di entrance Desa Dairy Farm. Setiap pengunjung dikehendaki membayar RM4.00/pax untuk masuk. Sepanjang perjalanan masuk di Desa Dairy Farm, pengunjung dapat menikmati pemandangan indah padang ragut (berbukit bukau) yang menghijau dan dikelilingi gunung-ganang berkabus..really nice scenery. Patutlah ramai pelancong ke sini kerana pemandangan yang indah dan cuaca yang begitu menyegarkan dan seolah-olah seperti berada di New Zealand.


Entrance ke Desa Dairy Farm

Pemandangan berkabus di Desa Dairy Farm

Lembu yang telah menjalani proses pemerahan susu dibawa ke padang ragut 

Di sini, pengunjung akan menuju ke bangunan utama yang menempatkan info Desa Dairy Farm, kawasan pemerahan susu dan kedai jualan produk tenusu segar dari ladang dan cenderamata. Waktu pemerahan susu lembu adalah sekitar jam 2.30 petang hingga 4.00 petang. Pelawat dapat melihat bagaimana susu diperah dengan menggunakan mesin, dan yang menarik sekali adalah bagaimana haiwan tenusu di ladang ini beratur untuk menunggu giliran diperah (kalau aku, sorry lah nak beratur panjang-panjang macam kau lembu..hahaha). 


Proses pemerahan susu dengan menggunakan mesin khas

Selepas itu, pelawat boleh membeli produk tenusu seperti susu segar, ais krim dan yoghurt selain barang-barang cenderamata yang lain. Saya hanya membeli susu putih dan coklat 1L sahaja. Memandangkan ketika itu hujan turun dengan agak lebat, penulis tidak dapat mengambil banyak gambar pemandangan sekitar pada ragut di Diary Farm. Walau bagaimanapun, saya bercita-cita untuk datang sekali lagi dengan family ke Dairy Farm ini pada masa akan datang!.


Antara produk hasil tenusu segar yang dijual di sini

Apapun, di sini saya ingin mencadangkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan di Ranau supaya memperbaiki dan menaiktaraf Pekan Kundasang supaya ianya dapat memberi imej yang baik kepada pekan pelancongan ini. Keadaan Pekan Kundasang ketika ini amat dhaif dengan keadaan jalan yang berlubang dan berhabuk, sampah sarap bersepah dimerata-rata tempat, keadaan kedai yang kotor dan berdebu, tidak langsung menggambarkan Pekan Kundasang sebagai tempat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. 

Pekan Kundasang mempunyai banyak produk menarik yang boleh dibangunkan secara holistik, yang sekiranya dapat dibangunkan oleh Pihak Berkuasa disana, ianya secara tidak langsung boleh menaiktaraf sosio-ekonomi penduduk setempat dan boleh..bla..bla..bla (mula lah nak start lecture ekonomi politik...hahaha). Alangkah menariknya jika di tengah-tengah roundabout di Pekan Kundasang didirikan sebuah clocktower yang bercirikan rekabentuk Inggeris, didirkan kedai-kedai yang bercirikan rekabentuk tudor dan pada masa yang sama selitkan ciri-ciri tempatan. Perghh...(berangan la kao bahhh!..hehehe).

Ok lah saya berhenti setakat ini seketika untuk siri ke-2..nantikan siri ke-3 penjelajahan saya di Kundasang.

Monday 21 April 2014

Trip ke Kundasang

Awesome!.itulah perkataan yang dapat saya gambarkan apabila mula menjejaki kaki ke Kundasang pada 18 April 2014 yang lalu. Sebenarnya percutian di Kundasang yang terletak di daerah Ranau di Sabah adalah salah satu destinasi idaman  sejak mengetahui akan keindahan daerah tersebut. Meskipun telah banyak kali ke Negeri Dibawah Bayu, tetapi inilah kali pertama saya ke sini.

Perjalanan  dengan menggunakan perkhidmatan udara MAS dengan penerbangan MH2604 jam 7.30 pagi. Saya gemar mengambil flight awal kerana kebarangkalian untuk berlaku kelewatan adalah nipis sekali. Inilah kali pertama saya mengambil penerbangan selepas kejadian kehilangan MH370 pada 8 Mac 2014 yang lepas (sehingga kini tiada sebarang penemuan ditemui). Penerbangan berjalan lancar sebagaimana yang dijadualkan. Saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu tepat jam 10.15 pagi dan terus meluru ke Balai Ketibaan untuk mengambil kereta yang telah ditempah sebelum ini. Penulis mengambil MyVi dengan kadar sewa RM140/sehari. Alhamdulillah penulis diberikan kereta MyVi yang baru (bau kedai lagi..heheh).

Sejurus mendapat kunci kereta saya terus menuju ke Kundasang bagi memastikan saya dapat tiba di Desa Dairy Farm tepat masanya. Inilah kali pertama saya membawa kenderaan sendiri di Sabah. Alhamdulillah, saya tidak mengalami kesulitan membawa kenderaan di Kota Kinabalu memandangkan saya sangat-sangat familiar dengan jalan-jalan utama di sini. Bagi menghilangkan penat, saya berhenti sebentar di McDonald Likas untuk makan sebentar sebelum meneruskan perjalanan. Dalam perjalanan, saya singgah sebentar di rumah terbalik yang terletak di Tuaran. Lokasi ini sangat terkenal di kalangan pelancong yang ke Sabah, kerana ianya satu-satu rumah terbalik yang ada di Asia Tenggara. Bayaran masuk yang dikenakan adalah sebanyak RM10 bagi seorang dewasa. Bagi mereka yang hanya ingin mengambil gambar di luar kawasan rumah terbalik dikenakan bayaran RM5.00 sahaja. Untuk memasuki rumah terbalik perlu mengikut giliran kumpulan, memandangkan kawasan dalam rumah adalah terhad untuk 15 orang sekali masuk. Bagi saya, rumah terbalik ini adalah biasa-biasa sahaja, apapun anda tetap kena melawat sekali seumur hidup!.

Selepas melawat rumah terbalik, saya teruskan perjalanan ke Kundasang. Kerana ada perasaan riak sebelum ini, saya terlajak dari simpang ke Pekan Tamparuli (untuk ke Kundasang, seseorang perlu mengambil jalan ke Pekan Tamaparuli). Nasib baik tidak jauh sesatnya..hehehe. 

Dari persimpangan Tamparuli saya diberitahu oleh staff Stesen Minyak Petronas bahawa perjalanan adalah mendaki bukit untuk tempoh sejam untuk sampai ke Pekan Kundasang. Yup, bermula perjalanan mendaki bukit. Keadaan jalanraya ke Kundasang adalah sangat baik. PSaya seringkali dimaklumkan bahawa kemudahan jalanraya di Sabah adalah teruk dengan keadaan jalan berlubang, tetapi tidak untuk perjalanan ke Kundasang.

Sepanjang perjalanan, pengunjung akan dihidangkan dengan pemandangan gunung Kinabalu. Waktu ini kelibat puncak gunung Kinabalu tidak kelihatan. Sebelum tiba ke Pekan Kundasang, kita akan bertemu dengan pekan kecil bernama Nabalu. Saya berhenti sebentar di Pekan Nabalu untuk berehat sebentar dan membeli sedikit bekalan untuk dibawa ke penginapan. Selepas seketika, saya meneruskan perjalanan ke Pekan Kundasang, dari Pekan Nabalu ianya mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja ke Kundasang. Akhirnya lebih kurang jam 2.15 petang, saya tiba di Kundasang. Setibanya di Pekan Kundasang, saya dapati keadaan persekitaran Kundasang tidak sepertimana yang digambarkan, keadaan pekan yang agak berdebu dan kotor sedikit sebanyak menjejaskan mood penulis. Saya mencadangkan supaya Majlis Perbandaran Ranau untuk mengambil inisiatif untuk menaiktaraf pekan Kundasnag kerana lokasi pekan tersebut sangat menarik dengan dikelilingi gunung ganang disekelilingnya.