Tuesday, 2 September 2014

Trip ke Kundasang Part 4

Hari berikutnya selepas check-out dari J Residence, saya terus menuju ke Kinabalu Park yang terletak hanya 300 meter sahaja dari J Residence. Kinabalu Park merupakan tempat permulaan kepada para pendaki yang ingin mendaki Gunung Kinabalu. Bagi mereka yang tidak berhasrat untuk mendaki, boleh juga melawat ke Kinabalu Park kerana anda boleh melihat puncak Gunung Kinabalu dengan jelas dari sini terutamanya pada waktu pagi. Terdapat juga kedai cenderamata, taman orkid, muzium dan beberapa kemudahan lain untuk pelawat yang berkunjung ke sini. 

Kinabalu Park

Saya tidak banyak menghabiskan masa di sini sekadar mengambil beberapa foto untuk koleksi persendirian. Tanpa membuang masa, saya bertolak balik ke Kota Kinabalu. Dalam perjalanan balik, saya singgah sebentar di Pekan Nabalu yang hanya terletak kira-kira 20 minit dari Kinabalu Park. Untuk makluman, Pekan Nabalu adalah sebuah pekan kecil yang mana aktiviti ekonomi utama penduduk di sini adalah melalui aktiviti pertanian dan kawasan ini terkenal dengan keluaran hasil nenas yang berkualiti di Negeri Sabah. Rugi sekiranya anda tidak merasa keenakan nenas disini yang nyata rasanya lebih manis dan segar.

Puncak Kinabalu dapat dilihat dengan jelas dari Kinabalu Park


Pemandangan gunung kinabalu dari pekan Nabalu

Selain itu, terdapat juga banyak kedai yang menjual cenderamata dan hasil kraftangan. Kadar harga cenderamata di sini seperti t-shirt, key chain dan hasil kraftangan adalah lebih murah berbanding dengan produk yang sama dijual di Pasar Philippine di Kota Kinabalu. Sebagai perbandingan, sehelai t-shirt disini dijual dengan harga RM15-18 berbanding RM25-30 di Pasar Philipine Kota Kinabalu, begitu juga barangan cenderamata yang lain. Pekan Nabalu juga merupakan tempat rehat dan rawat kepada pelancong yang ingin ke Kundasang dan Ranau. Di sini terdapat platform yang membolehkan anda melihat puncak gunung kinabalu dengan jelas. Agak lama juga saya menghabiskan masa disini untuk membeli beberapa barangan cenderamata dan makan untuk mengalas perut. 

Antara gerai yang menjual buah-buahan dan makanan tempatan

Kedai menjual barangan cenderamata di pekan Nabalu


Dari pekan Nabalu, saya terus menuju ke Kota Kinabalu. Oleh kerana rasa sedikit malas pada hari tersebut, saya tidak berhenti di pekan Tamparuli yang juga menjadi tumpuan pelancong terutamanya bagi mereka yang ingin merasai pengalaman berjalan di jambatan Tamparuli yang terkenal itu. Sebelum tiba di Kota Kinabalu, saya singgah sebentar di Tuaran bagi merasai keenakan lokan bakar dan air kelapa bakar. Kawasan ini agak terkenal di kalangan pelancong luar yang ingin merasai keenakan lokan bakar dan air kelapa bakar yang sukar  didapati di tempat lain. Selepas merasai lokan bakar dan air kelapa bakar, saya terus menuju ke Gayang Seafood Restaurant salah satu restoran makanan laut yang cukup terkenal di kalangan penduduk tempatan dan pelancong. Restoran ini sebenarnya terletak berhadapan dengan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sabah. Bagi anda yang ingin ke sini, ikut sahaja signboard INTAN Wilayah Sabah bagi menuju ke restoran ini. Oleh kerana saya tiba pada waktu tengahari iaitu kira-kira jam 12.30, tidak ramai pengunjung di restoran ini. Untuk makan tengahari disini, saya hanya memesan udang masak butter, sayur campur dan ikan sweet sour. Oleh kerana saya telah kekenyangan kerana baru sahaja makan lokan bakar, makanan yang dipesan tidak dapat dihabiskan. Terpaksalah saya minta baki makanan di tapau untuk dibawa balik ke hotel. 

Sayur campur



Udang butter

Selepas menjamu selera di Gayang Seafood Restaurant, saya bergerak ke bandaraya Kota Kinabalu untuk daftar masuk di Everly Hotel yang terletak ditengah-tengah bandaraya. Penulis tidak banyak melakukan aktiviti disini, memandangkan saya telah berpuluh kali melawat Kota Kinabalu sebelumnya. Hanya memenuhi hajat rakan-rakan yang memesan cenderamata dari Kota Kinabalu, saya jejakkan kaki juga ke Pasar Philipine. Tidak banyak barang yang hendak dicari, saya hanya membeli beberapa makanan ringan yang menjadi trademark di sini seperti kuih cincin, keropok ikan dan beberapa lagi produk makanan ringan dari negeri Sabah. Waktu malamnya penulis menghabiskan masa di pasar malam bersebelahan Pasar Philipine untuk melihat gelagat peniaga dan pelawat disini. 

Keesokan harinya, selepas menikmati sarapan di hotel, saya terus daftar keluar untuk ke airport bagi mengambil penerbangan balik ke Kuala Lumpur. Meskipun pesawat yang akan dinaiki saya jam 1.30 tengahari, saya sengaja datang awal ke airport untuk mendapatkan penerbangan awal ke Kuala Lumpur sekiranya ada. Alhamdulillah, setibanya di sana saya dapat menukar waktu penerbangan yang lebih awal dari penerbangan yang sepatutnya dinaiki.

Setakat ini sahaja coretan saya untuk lawatan ke Sabah. Saya berpuashati kerana sebahagian perancangan yang dibuat sebelum ini berjalan lancar dan saya tidak akan berasa jemu untuk datang lagi ke Sabah.


No comments:

Post a Comment