Monday 15 September 2014

Prague-Vienna 2011 - Part 4


Perjalanan diteruskan lagi dari Cesky Crumlov, aku ke salah satu castle yang popular di Prague iaitu Hluboka Castle yang terletak lebih kurang 45 minit dari Cesky Crumlov.  

Hluboka Castle..style senibina Zaman Pertengahan dan antara yang cantik di Rep. Czech

Hluboka Castle ini yang mula dibina pada abad ke-13 pada mulanya merupakan sebuah kota yang menempatkan pasukan pengawal keselamatan istana. Istana ini dikatakan telah beberapa kali bertukar tangan di kalangan golongan aristrokrat ataupun bangsawan pada zamannya.

 Berbanding dengan kota-kota istana yang lain, keluasan Hluboka Castle agak kecil dan hanya terdapat dua blok istana utama yang pada hari ini dijadikan sebuah muzium.

Yang membezakan Hluboka dengan kota-kota  yang lain ialah ianya mempunyai taman yang agak luas. Oleh kerana itu, kota ini sering menjadi kegemaran Raja Charles ke IV untuk beristirehat terutamanya pada musim panas.

Keadaan cuaca di sini agak dingin dan ianya agak berbeza di kota Prague yang agak panas. Meskipun begitu, tidak banyak tempat menarik yang hendak dilawat di Hluboka Castle. 

Relax je lepak tepi jalan sebab nak amik scene ni..

Dari Hluboka Castle aku terus ke Ibu Negara Austria iaitu Vienna. Sepanjang perjalanan, korang akan melalui ladang penanaman  laviender dan ladang gandum yang diusahakan secara besar-besaran oleh penduduk disini.

Perjalanan pada hari ini sangat memenatkan kerana aku juga dibawa ke beberapa tempat dalam tempoh yang agak terhad disamping perlu mengejar masa untuk tiba Vienna sebelum pukul 3.00 petang. Sepanjang perjalanan aku hanya tidur sahaja di dalam van dengan perut yang agak lapar kerana aku hanya mengisi perut dengan roti dan biskut sahaja sejak dari pagi. 

Bergerak ke Vienna, Austria

Meskipun ke negara yang berlainan, pengunjung dari luar negara tidak perlu untuk membuat pemeriksaan imigresen di sempadan Republik Czech dan Austria memandangkan kedua-dua negara ini teah menyertai perjanjian imigresen yang memusatkan peraturan imigresen di bawah Kesatuan Eropah.

Aktiviti penduduk banyak tertumpu kepada aktiviti pertanian. Aku hanya berhenti di beberapa kawasan Rehat dan Rawat untuk mendapatkan bekalan air dan sedikit makanan.

Kira-kira jam 3.00 petang, aku akhirnya tiba di Vienna. Untuk aktiviti dan lawatan ke tempat-tempat menarik sepanjang berada di Vienna aku akan sambung dalam entry yang selanjutnya.


Prague-Vienna 2011 - Part 3

Sungai yang mengelilingi Cesky Krumlov 

Apabila kursus telah bermula pada hari kedua, masa banyak tertumpu kepada modul yang disediakan oleh urusetia sepanjang di kota Prague. Modul dijalankan dalam kumpulan yang kecil dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan. Refreshment disediakan sepanjang kursus menjimatkan perbelanjaan saya untuk mendapatkan makanan di luar. 

Pada hujung minggu, memandangkan tiada modul dijalankan, pihak urusetia mengatur perjalanan ke Vienna iaitu ibu kota Austria yang terletak di selatan Republik Czech. Lawatan ke Vienna mengambil masa selama dua hari satu malam sahaja. Sepanjang perjalanan ke Vienna, urusetia juga mengaturkan lawatan ke salah satu tempat yang diiktiraf sebagai tapak warisan dunia iaitu Cesky Krumlov yang memakan masa Lebih kurang sejam setengah perjalanan ke sana.



Salah satu bangunan di Cesky Crumlov didirikan pada tahun 1585 yang masih bertahan sehingga hari ini

Cesky Crumlov merupakan sebuah kota kecil yang dikelilingi Sungai Vltava yang didirikan sekitar zaman pertengahan. Melihat kepada rekabentuk senibina bangunan ini masih terpelihara dengan gaya zaman pertengahan tetap utuh meskipun kawasan ini duhulunya pernah menjadi jajahan komunis. 

Menariknya, Cesky Crumlov  ini merupakan lokasi pertama di Republik Czech mendapat pengiktirafan sebagai kota warisan dunia oleh UNESCO. Pengunjung yang melawat tempat ini akan terpukau dengan keindahan senibina bangunan yang masih lagi kekal terpelihara, sistem perbandaran yang teratur dan pada masa yang sama juga alam sekitar terus terpelihara. 




Pemandangan Castle Tower 

Aktiviti berkayak 

Aku habiskan banyak masa mengelilingi kota ini yang ternyata sangat menenangkan disamping anak sungai yang mengalir bersih airnya. Budaya masyarakat di sini yang sangat appreciate alam sekitar, bukanlah sesuatu yang asing di Eropah.

Pemandangan dari sisi kota lama


Entrance ke Cesky Crumlov

Seperti mana kota-kota bersejarah yang lain, Cesky Crumlov menjadi salah satu ikon pelancongan penting ke Prague. Berduyun-duyun pelancong dari sekitar Eropah dan negara asing membanjiri kota lama ini bagi melihat keindahan senibina dan sistem perbandaran suatu masa dahulu. 

Untuk mendapatkan makanan halal ini sangat sukar atau memang tiada. Pilihan terbaik hanya lah roti yang dijual di gerai yang terdapat di dalam kota ini. Oleh itu sebaik-baiknya korang bawa bekalan makanan bersama ketika berada di sini untuk mengalas perut kerana lawatan di Cesky Crumlov banyak menggunakan tenaga kerana anda perlu berjalan kaki dan adakalanya perlu memanjat tangga dari satu blok ke blok yang lain.

Itu sahaja untuk catatan ke Cesky Crumlov. Sebuah kota lama bersejarah yang mencatat peradaban Eropah Tengah pada zaman Pertengahan.




Wednesday 3 September 2014

Prague-Vienna 2011 - Part 2

Setelah check-in, kami bergerak ke lokasi pertama iaitu Prague Castle. Prague Castle adalah salah satu tumpuan pelancong yang wajib dilawati oleh setiap pelancong di Prague. Kebetulan musim panas di Eropah baru sahaja bermula, ramai pengunjung dari serata Eropah melawat ke Prague ketika ini.

Salah satu menara  yang terdapat di Prague Castle

Berbalik kepada Prague Castle yang berkeluasan 70,000 meter persegi lokasi ini seolah-olah sebuah kota kecil yang menempatkan beberapa bahagian penting seperti Castle Square, St. Vitus Cathedral dan beberapa komponen lain.  Cuma nasihat aku bila korang visit church ni, pasang niat just untuk membuat perbandingan antara Islam dan Kristian.

Sekitar Prague Castle



Untuk ke sana, aku mengambil tram (keretapi di atas jalan raya) dan mengambil masa hanya 15 minit untuk sampai ke sana. Di Prague, tram adalah salah satu pengangkutan awam yang penting dan negara ini adalah antara negara yang awal memperkenalkan tram sebagai pengangkutan awam yang utama. 


Dari istana lama, kami bergerak ke Cathedral dan seterusnya melawat beberapa bahagian penting dalam kompleks yang menempatkan istana lama dan church. Dengan keadaan yang memenatkan dan kelaparan kami ikut sahaja kemana tour guide bawa  pada petang itu.

Gabungan kota lama dan baru..takde pun bangunan tinggi kat sini


View old town dari atas bukit 

Kota Prague terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu Old Town dan New Town. Old Town banyak menempatkan bangunan-bangunan lama bersejarah yang juga merupakan monumen penting  kepada perkembangan tamadun di sini dan tumpuan pelancong sudah semestinya di Old Town. 

Di sini juga banyak bangunan-bangunan bersejarah sejak zaman Renaissance yang masih terpelihara dengan baik dan menjadi kebanggaan rakyat negara ini.

Charles Bridge yang menghubungkan Old town dan New Town. Salah satu lokasi wajib yang perlu dikunjungi kalau ke Prague.

Selepas menghabiskan masa kira-kira sejam di Prague Castle, kitorang bergerak ke Charles Bridge salah satu lokasi utama yang turut menjadi tumpuan pelancong Seseorang dianggap tidak akan sampai ke Prague jika sekiranya tidak melalui Charles BridgeCharles Bridge melintasi Sungai Vltava yang menghubungkan Old Town dan New Town. 

Jambatan yang  didirikan sekitar tahun 1357 oleh King Charles IV mempunyai panjang kira-kira 621 meter dan lebar 10 meter yang cukup memberi laluan kepada kereta berkuda.


Elok semua bagi laluan kat aku. Terima kasih uolz..

Apa yang menariknya di Charles Bridge ini adalah statue tokoh utama dalam tamadun Prague yang mengisi sepanjang Charles Bridge. Pada hari ini, banyak aktiviti seni diadakan seperti persembahan muzik, lukisan potret, pameran lukisan dan beberapa aktiviti lain yang jelas untuk menarik perhatian pelancong ke jambatan yang bersejarah ini.


Makanan halal agak sukar diperolehi dan untuk hari-hari berikutnya, selain dari bekalan makanan yang dibawa dari Malaysia, burger fish fillet McDonalds menjadi tumpuan kami untuk mengalas perut.

Pada waktu malam tidak ada aktiviti dilakukan kerana aku dah kepenatan sepanjang perjalanan dari Malaysia-Amsterdam-Prague-tour di kota Prague tanpa henti dan sempat berehat. Ditambah dengan perut yang agak kelaparan dan makan malam hanya beralaskan maggi sahaja..so apalagi tidur lah penyelesaian terbaik untuk menenangkan fikiran. 

Sepanjang berada di Prague, aku menginap di Golden Tulip Hotel, terletak kira-kira 10 minit berjalan kaki ke Old Town Praha. Hotel bertaraf 4 bintang ini menyediakan bilik penginapan yang selesa dan kemudahan wifi nya juga not bad. 

Breakfast termasuk sekali dalam kos bilik dan menu yang disediakan secara buffet memadai untuk aku mengalas perut pada waktu pagi. Memandangkan waktu siang lebih panjang pada waktu ini, maka lebih kurang jam 12.00 tengah malam baru aku dapat memejamkan mata.

Setakat ini sahaja catatan perjalanan pada hari pertama di kota Prague, nantikan penjelajahan seterusnya di Prague dan Vienna episod akan datang.

Prague-Vienna 2011 - Part 1

Aku ke Republic Czech pada Julai 2011 kerana dikehendaki menghadiri kursus di sana. Bersama-sama aku adalah tiga orang rakan lain yang turut serta bagi perjalanan kali ini. Aku berhasrat menolak tawaran tersebut pada awalnya memandangkan berasa agak malas untuk menghadiri kursus luar negara dalam tempoh yang agak lama.


Last2 pergi jugak, sebabkan kawan aku bersungguh2 suh aku pergi ke sana atas alasan Rep.Czech satu Negara di Timur Eropah yang patut diterokai…hurmm..Setelah mengambilkira semua pertimbangan, maka aku pun dengan berat hati bersetuju untuk menerima tawaran tersebut.

Terlebih dahulu sedikit latarbelakang Prague, Prague adalah ibu negara bagi Republic Czech. Republik Czech adalah salah satu bekas negara dibawah Kesatuan Soviet Union (USSR) semasa era perang dingin dan mencapai kemerdekaan setelah kejatuhan USSR pada tahun 1991.

Negara ini bersempadanan dengan German di sebelah barat dan Austria di sebelah selatan. Dalam bahasa rasmi negara ini, Republic Czech dikenali sebagai Ceska Republika manakala Prague dikenali sebagai Praha. Matawang yang digunakan adalah Krona dan pada masa yang sama matawang EU juga diterima pakai secara meluas.

Pada tarikh yang ditetapkan, aku bertolak dari KLIA dengan Malaysia Airlines System dan transit di  Schipol Airport, Amsterdam sebelum menyambung perjalanan menggunakan penerbangan Czech Airlines ke ibu kota Republic Czech. Perjalanan dari KLIA ke Schipol mengambil masa selama 12 jam dan sangat membosankan walaupun duduk di kelas perniagaan. Bertolak dari KLIA jam 11.55 malam dan tiba di Amsterdam jam 7.30 pagi.

Setiba di Lapangan Terbang Schipol, tak banyak aktiviti yang boleh dibuat memandangkan masih terlalu awal lagi dan banyak kedai masih belum dibuka. Hendak bersarapan pula masih terasa kekenyangan kerana duduk di kelas perniagaan korang tidak akan sempat berasa lapar. Beberapa kali aku dikejutkan untuk makan sepanjang perjalanan tersebut.

Semasa di Lapangan Terbang Schipol, semasa melalui pemeriksaan Imigresen, pegawai bertugas di kaunter imigresen (dah tentulah mat saleh) bertanyakan kepada aku dengan ramah dalam bahasa Melayu/Indonesia "Encik ni mahu kemana ya?"..terkejut kao, pagi-pagi di negara orang omputih anda disapa begitu..hahaha.

Semasa melalui pemeriksaan imigresen, pemeriksaan dilakukan dengan ketat oleh pihak berkuasa di sana.Aku  perhatikan pemeriksaan ke atas pelawat dari benua Afrika sangat ketat sehingga mereka terpaksa menanggalkan kasut dan beg mereka diselongkar satu persatu, berbanding dengan kitorang dan pelawat dari negara lain yang hanya perlu menanggalkan tali pinggang dan bahan berlogam  sahaja.

Jam 8.30am, ruang menunggu di Schipol untuk ke Prague mula dipenuhi penumpang. Rata-rata yang akan menaiki pesawat ini adalah penumpang dari Eropah dan satu kumpulan anak muda dari Indonesia juga turut bersama. Penerbangan ke Prague pada pukul 9.30 pagi dan mengambil masa 1 jam 15 minit sahaja.

Dari Schipol kitorang guan Czech Airlines. Lebih kurang jam 11.00 pagi, kami tiba di Lapangan Terbang Czech-Ruzyne. Tiba di sana pelancong tidak perlu melalui pemeriksaan Imigresen kerana negara-negara dibawah Kesatuan Eropah telah mengintegrasikan sistem keimigresenan mereka secara berpusat.

Prague Airport..tak besar mana pun dan tak terlalu sibuk kalau nak dibanding dengan Schipol dan Heathrow

Setiba di Prague, kenderaan telah sedia menunggu untuk terus membawa kitorang ke hotel penginapan selama berada di Prague. Kami menginap di Golden Tulip Hotel yang terletak berhampiran dengan stesen keretapi utama di Prague. Kitorang tidak punya masa yang banyak untuk berehat selepas check-in dihotel tersebut dan terus diminta untuk berjumpa di lobi hotel dengan segera untuk aktiviti pertama tengahari tersebut...arghh..penat bah.

Untuk aktiviti selanjutnya apa yang dilakukan di Prague pada hari pertama, nantikan butirannya dalam Prague-Vienna 2011 Part 2.

Tuesday 2 September 2014

Trip ke Kundasang Part 4

Hari berikutnya selepas check-out dari J Residence, saya terus menuju ke Kinabalu Park yang terletak hanya 300 meter sahaja dari J Residence. Kinabalu Park merupakan tempat permulaan kepada para pendaki yang ingin mendaki Gunung Kinabalu. Bagi mereka yang tidak berhasrat untuk mendaki, boleh juga melawat ke Kinabalu Park kerana anda boleh melihat puncak Gunung Kinabalu dengan jelas dari sini terutamanya pada waktu pagi. Terdapat juga kedai cenderamata, taman orkid, muzium dan beberapa kemudahan lain untuk pelawat yang berkunjung ke sini. 

Kinabalu Park

Saya tidak banyak menghabiskan masa di sini sekadar mengambil beberapa foto untuk koleksi persendirian. Tanpa membuang masa, saya bertolak balik ke Kota Kinabalu. Dalam perjalanan balik, saya singgah sebentar di Pekan Nabalu yang hanya terletak kira-kira 20 minit dari Kinabalu Park. Untuk makluman, Pekan Nabalu adalah sebuah pekan kecil yang mana aktiviti ekonomi utama penduduk di sini adalah melalui aktiviti pertanian dan kawasan ini terkenal dengan keluaran hasil nenas yang berkualiti di Negeri Sabah. Rugi sekiranya anda tidak merasa keenakan nenas disini yang nyata rasanya lebih manis dan segar.

Puncak Kinabalu dapat dilihat dengan jelas dari Kinabalu Park


Pemandangan gunung kinabalu dari pekan Nabalu

Selain itu, terdapat juga banyak kedai yang menjual cenderamata dan hasil kraftangan. Kadar harga cenderamata di sini seperti t-shirt, key chain dan hasil kraftangan adalah lebih murah berbanding dengan produk yang sama dijual di Pasar Philippine di Kota Kinabalu. Sebagai perbandingan, sehelai t-shirt disini dijual dengan harga RM15-18 berbanding RM25-30 di Pasar Philipine Kota Kinabalu, begitu juga barangan cenderamata yang lain. Pekan Nabalu juga merupakan tempat rehat dan rawat kepada pelancong yang ingin ke Kundasang dan Ranau. Di sini terdapat platform yang membolehkan anda melihat puncak gunung kinabalu dengan jelas. Agak lama juga saya menghabiskan masa disini untuk membeli beberapa barangan cenderamata dan makan untuk mengalas perut. 

Antara gerai yang menjual buah-buahan dan makanan tempatan

Kedai menjual barangan cenderamata di pekan Nabalu


Dari pekan Nabalu, saya terus menuju ke Kota Kinabalu. Oleh kerana rasa sedikit malas pada hari tersebut, saya tidak berhenti di pekan Tamparuli yang juga menjadi tumpuan pelancong terutamanya bagi mereka yang ingin merasai pengalaman berjalan di jambatan Tamparuli yang terkenal itu. Sebelum tiba di Kota Kinabalu, saya singgah sebentar di Tuaran bagi merasai keenakan lokan bakar dan air kelapa bakar. Kawasan ini agak terkenal di kalangan pelancong luar yang ingin merasai keenakan lokan bakar dan air kelapa bakar yang sukar  didapati di tempat lain. Selepas merasai lokan bakar dan air kelapa bakar, saya terus menuju ke Gayang Seafood Restaurant salah satu restoran makanan laut yang cukup terkenal di kalangan penduduk tempatan dan pelancong. Restoran ini sebenarnya terletak berhadapan dengan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sabah. Bagi anda yang ingin ke sini, ikut sahaja signboard INTAN Wilayah Sabah bagi menuju ke restoran ini. Oleh kerana saya tiba pada waktu tengahari iaitu kira-kira jam 12.30, tidak ramai pengunjung di restoran ini. Untuk makan tengahari disini, saya hanya memesan udang masak butter, sayur campur dan ikan sweet sour. Oleh kerana saya telah kekenyangan kerana baru sahaja makan lokan bakar, makanan yang dipesan tidak dapat dihabiskan. Terpaksalah saya minta baki makanan di tapau untuk dibawa balik ke hotel. 

Sayur campur



Udang butter

Selepas menjamu selera di Gayang Seafood Restaurant, saya bergerak ke bandaraya Kota Kinabalu untuk daftar masuk di Everly Hotel yang terletak ditengah-tengah bandaraya. Penulis tidak banyak melakukan aktiviti disini, memandangkan saya telah berpuluh kali melawat Kota Kinabalu sebelumnya. Hanya memenuhi hajat rakan-rakan yang memesan cenderamata dari Kota Kinabalu, saya jejakkan kaki juga ke Pasar Philipine. Tidak banyak barang yang hendak dicari, saya hanya membeli beberapa makanan ringan yang menjadi trademark di sini seperti kuih cincin, keropok ikan dan beberapa lagi produk makanan ringan dari negeri Sabah. Waktu malamnya penulis menghabiskan masa di pasar malam bersebelahan Pasar Philipine untuk melihat gelagat peniaga dan pelawat disini. 

Keesokan harinya, selepas menikmati sarapan di hotel, saya terus daftar keluar untuk ke airport bagi mengambil penerbangan balik ke Kuala Lumpur. Meskipun pesawat yang akan dinaiki saya jam 1.30 tengahari, saya sengaja datang awal ke airport untuk mendapatkan penerbangan awal ke Kuala Lumpur sekiranya ada. Alhamdulillah, setibanya di sana saya dapat menukar waktu penerbangan yang lebih awal dari penerbangan yang sepatutnya dinaiki.

Setakat ini sahaja coretan saya untuk lawatan ke Sabah. Saya berpuashati kerana sebahagian perancangan yang dibuat sebelum ini berjalan lancar dan saya tidak akan berasa jemu untuk datang lagi ke Sabah.