Sunday, 3 April 2016

Cyberview Lodge & Spa Resort Cyberjaya

Ini percutian paling malas dan paling dekat....sebabnya mungkin dah terlalu kerap travel ke destinasi yang terletak di luar Lembah Klang, saya melihat perlunya saya bertukar angin ke destinasi  yang tidak jauh dari rumah. Makanya, setelah digoogle lokasi hotel di sekitar Lembah Klang, Cyberview Lodge dan Spa Resort Cyberjaya berjaya menambat hati saya untuk menghabiskan masa hujung minggu pada 26-27 Mac yang lepas ...kui2. Punyalah jauh  resort ni dari rumah saya..hanya 10 minit  memandu (4.5 km). 

Katanya Cyberview Lodge ini menjadi tumpuan warga kota untuk menghabiskan masa hujung minggu berikutan lokasi yang tidak jauh dari Kuala Lumpur. Selain itu, suasana disini juga agak berbeza dengan mana-mana hotel/resort yang terdapat di Lembah Klang di mana kawasan hotel ini dikelilingi dengan pokok kelapa sawit yang menyerlahkan identiti hotel ini seolah-olah tersembunyi dari hiruk pikuk kota. Tidak cukup dengan itu, ianya terletak di bandar utama multimedia super corridor yang menempatkan pejabat-pejabat MNC ICT menambahkan lagi gah resort ini. Suatu ketika dahulu, resort ini menjadi lokasi penting bagi penganjuran persidangan APEC yang dihadiri oleh ketua-ketua Negara dari ASEAN dan negara kuasa besar yang lain.

Saya check-in lebih kurang jam 3.00 pm, proses untuk check ini mengambil masa yang agak lama. Saya akui perkara ini bersetuju dengan beberapa komen blogger lain berkenaan proses daftar masuk di sini. Seorang guest mengambil masa lebih kurang10 minit untuk diselesaikan proses check-in, meskipun ketika itu terdapat 3 orang receptionist menguruskan pendaftaran masuk. Kadar harga bilik berjumlah RM260.00 termasuk breakfast. Ok lah ratenya untuk hujung minggu. Untuk buffet breakfast di disediakan di Verandah Cafe yang terletak berhadapan dengan kolam renang. 

Selepas daftar masuk dan berehat sebentar di bilik, tanpa buang masa kami bersiap-siap ke kolam renang. Terdapat 3 peringkat kolam renang, kolam paling atas sekali sesuai untuk anak-anak dibawah umur 5 tahun. Peringkat kedua untuk orang dewasa dan kanak-kanak 7 tahun ke atas dan paling bawah sekali sesuai untuk kanak-kanak 5 tahun keatas. Kesemua kolam renang agak luas dan tidak perlu berebut-rebut dengan pengunjung yang lain. Bab kolam renang ni saya bagi 5 star kepada Cyberview Lodge kerana memenuhi keperluan semua peringkat umur. Selain itu, kolam renang di sini tidak mengenakan syarat pakaian renang yang ketat kepada pengunjung. So, ikut gaya masing-masing nak pakai apa pun semasa swimming.

Memandangkan tujuan ke sini pun hanya untuk bersantai-santai dihujung minggu semata-mata, maka masa terisi hanya di resort. Bilik yang disediakan sangat memuaskan. Setiap bilik dilengkapi dengan bath tub. Foto bagi keadaan bilik boleh di google dalam blogger yang pernah bermalam di sini. Bagi mereka yang pertama kali ke Cyberjaya, saya sarankan ambil sedikit masa untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di sini seperti Taman Tasik Cyber, Masjid Raja Haji Fi-Sabilillah (masjid pertama di Malaysia yang dianugerahi dengan Platinum - Green Building Index), membeli belah di D'Pulze atau ke Alamanda Putrajaya.

Cyberjaya juga boleh dianggap syurga makanan. Anda boleh ke  Shaftbury Square untuk menikmati Chinese Cuisine seperti di Salam Noodle, atau makanan Thai di Aroi Thai. Nak mengopi anda boleh ke Starbuck atau O'Briens Sandwich CafeSelain cafe antarabangsa, anda juga boleh nikmati hidangan tempatan seperti di Restoran Nasi Kak Wok, Kedai Makang Nasi Dagang, Mat Ayam Kampung, Puffy Buffy Cafe, Restoran Padi selain nasi ayam penyet di food court terminal bas Cyberjaya. Di Cyberjaya juga terletaknya beberapa restoran yang cukup terkenal seperti restoran Saba' (bersebelahan di D'Pulze yang menyediakan arab cuisine), Homist Chinese Muslim Restaurant di D'Pulze dan beberapa restoran antarabangsa. Cyberjaya saya anggap sebuah perbandaran baru antarabangsa yang sedang membangun. Selain itu, di sini terletaknya syarikat IT gergasi antarabangsa dan pakar IT dari pelbagai negara bekerja di sini.


Setakat ini sahaja catatan saya. Cyberview Lodge sangat recommended bagi anda yang ingin melarikan diri sebentar dari suasana kota tanpa perlu berjalan jauh. So, kita layan gambar yang sempat saya snap di Cyberview Lodge and Spa Resort, Cyberjaya.


Swimming pool untuk kanak-kanak bawah 5 tahun

See..macam kat tengah hutan.. pool untuk orang dewasa
Italian Restaurant..tak makan pun kat restoran ni

Bilik penginapan...disini anda boleh park kenderaan di hadapan bilik.
Blok yang menempatkan lobi utama resort

Lagi ..di sekitar resort..

Verandah Cafe berhadapan dengan pool..saya bagi 4.5 bintang untuk hidangan breakfast