Hari
kedua, usai menunaikan solat subuh, saya mengambil kunci skuter dan terus
mencari gerai yang menjual sarapan pagi. Di sekitar Pantai Tengah dan Pantai
Cenang, tidak ada gerai yang menjual sarapan pagi, kebiasaannya saya akan
menuju ke Kedawang untuk mendapatkan sarapan pagi. Terdapat sebuah gerai menjual menu sarapan
pagi dengan pelbagai jenis nasi lemak, mee, kuih muih tempatan yang memberi
kelainan sarapan pagi anda. Seawal subuh gerai ini telah dibuka dan menjadi
tumpuan penduduk tempatan termasuk para pekerja hotel/resort membeli sarapan di
gerai ini.
Seperti mana yang
dijanjikan, tepat jam 8.00 pagi, kenderaan yang dinanti datang untuk mengambil
pengunjung yang telah mengambil pakej island hopping. Kami dikumpulkan di Jeti
Kuah dan dipakaikan bristband serta di edar tiket feri dan kupon
makanan. Perjalanan memakan masa selama satu jam. Sepanjang perjalanan tidak
banyak perkara yang boleh dibuat selain tidur ataupun berangan..hahaha.
Kami
tiba di Payar Marine Park sekitar jam 10.30 pagi, feri akan berlabuh tidak jauh
dari pantai dan sebuah bot yang lebih kecil akan mengambil pengunjung untuk
dibawa ke pontoon Pulau Payar. Setibanya di Pulau Payar, wakil marine park
akan memberi briefing do`s and don’t mengenai lokasi ini.
Tanpa
membuang masa, saya terus ke pantai untuk berenang dan snorkeling. Dengan air
yang jernih, pengunjung dapat melihat hidupan marin dengan jelas di sini. Jika
berpeluang, anda boleh berenang bersama-sama baby shark yang terdapat di
sini. Bagi mereka yang tidak berminat untuk snorkeling, memadai dengan memberi
makan kepada ikan-ikan di sini. Jam 12 tengah hari lunch pack disediakan
dan pengunjung boleh kembali ke khemah yang ditetapkan untuk lunch.
Sebenarnya tidak banyak aktiviti yang boleh dijalankan, hanya sekadar berenang,
snorkeling dan diving (bagi mereka yang mengambil pakej diving).
Di sini
disediakan tandas dan bilik air bagi kemudahan pengunjung untuk mandi dan
membersihkan diri. Walau bagaimanapun, air yang disediakan adalah air laut.
Cukuplah sekadar untuk anda membersihkan diri seadanya. Takde lah nak bermandi
bagai untuk bersihkan diri. Memandangkan masa masih lagi panjang, saya
mengambil peluang berjalan di sepanjang platform untuk mengambil beberapa
photoshoot. Tepat jam 2.30 petang kami diminta untuk berkumpul semula di jeti
sebelum bertolak balik ke Langkawi.
Terus
terang saya katakan, meskipun Payar Marine Park menawarkan keindahan pantai
semula jadi dengan kehidupan marin yang menarik, tetapi ianya tidak sehebat
pengalaman saya semasa ke Krabi pada Januari yang lepas. Dengan bayaran
pakej sebanyak RM120, saya berpendapat kos ini tidak berbaloi dengan pakej yang
ditawarkan, berbanding dengan pakej yang saya sertai di Krabi. Tumpuan aktiviti hanya di Payar marine sahaja, anda tidak akan dibawa ke mana-mana destinasi lain.
Untuk
hari ketiga, pagi-pagi lagi saya telah keluar ke pekan Kuah. Tiada apa-apa
tujuan sebenarnya, saja untuk makan nasi kandar di Restoran Hj Ali yang
terletak di pekan Kuah. Dari dulu lagi saya sudah biasa makan sarapan pagi
dengan hidangan yang agak berat di restoran ini. Selepas bersarapan saya
teruskan perjalanan ke hotel-hotel baru dibuka yang belum sempat saya menginap
seperti Dayang Bay Service Apartment.
Hotel ini baru dibuka pada penghujung
tahun 2013 dan kedudukan menghadap laut sangat menarik untuk menjadi penginapan
saya sekiranya ke Langkawi lagi pada masa hadapan.
Okeylah
tiba bab penutup pula, Saya akui Langkawi
adalah destinasi pelancongan terbaik di Malaysia setakat ini. Pelbagai tarikan
yang ditawarkan di sini dan sesuai untuk seisi keluarga. Dari keindahan
pantainya, Underwater World, Langkawi Cable Car, island hopping, shopping,
makanan yang enak dan pelbagai, keberadaan di sini anda tidak akan berasa
bosan.
Langkawi membangun dengan pesat sebagai lokasi pelancongan yang bertaraf
antarabangsa. Seingat saya 10 tahun lepas terdapat pesawat MAS melakukan
penerbangan terus dari Heathrow London ke Langkawi bagi memudahkan pelancong
dari Eropah ke Langkawi!. Bukan itu sahaja, banyak acara peringkat antarabangsa
sering diadakan di sini seperti LIMA dan Dialog Selatan-selatan saban tahun.
Diharapkan pembangunan pesat pelancongan di
sini dapat membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di sini yang
rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu dan banyak bergantung kepada
aktiviti pelancongan dan pertanian sebagai sumber ekonomi utama mereka. Saya
akui, sehingga kini saya tidak pernah jemu ke Langkawi!
Tips :
Sila
bawa bekalan air mineral yang secukupnya. Air mineral bukan sahaja untuk
menghilangkan dahaga, tetapi juga untuk membersihkan badan anda selepas
seharian melakukan aktiviti air di Payar Marine Park. Tiada bekalan air bersih
di sini, dan pihak Jabatan Laut hanya menyediakan air laut untuk membersihkan
diri anda.
Bawa
juga bekalan roti putih sebanyak mungkin untuk diberi makan kepada ikan di Payar
Marine Park. Rugi sekiranya anda tidak merasai pengalaman memberi makan kepada
ikan sambil membelai ikan di sini dan jika anda bernasib baik anda boleh beri
makan kepada baby shark.
Untuk
rakaman video di dalam air, sekiranya anda berkemampuan, belilah ProGo Hero 4
[latest version]. Berdasarkan pembacaan saya, rakaman video dengan camera ini
sangat terbaik terutamanya semasa melakukan aktiviti outdoors dan
menyelam!.